Categories: Filem

Tonton Apa Hari Ni: ‘Pendamping’

Dunia ghaib bukanlah perkara yang asing dalam kalangan penduduk nusantara. Namun, setiap kali ia dibangkitkan, ia masih memberi kesan yang mendalam. Filem terbaharu di Tonton yang berjudul ‘Pendamping’ memperlihat situasi ini.

Ia bermula dengan watak seorang gadis yang bernama Suria yang telah dirasuk di sebuah dorm. Dia telah hilang akal sehingga luar kawalan diri. Malangnya, Suria gagal diselamatkan dan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir dek gangguan ini.

Setelah beberapa tahun, di sebuah pekan lama, muncul watak Nora (lakonan Sharifah Sakinah) yang dibelenggu depresi kerana tanggungjawab yang perlu dipikulnya. Dia terpaksa mengambil alih peranan ketua keluarga setelah pemergian misteri kakak dan abang iparnya. Bukan sahaja dia perlu menjaga bapanya, Nora juga perlu menenangkan ibu dan anak buahnya.

Nora tekad untuk mencari sebab kematian kakak dan abang iparnya. Pada masa yang sama, dia juga semakin kerap terperangkap dalam mimpi-mimpi ngeri yang melibatkan satu lembaga. Perkara ini juga mempengaruhi kemurungan yang dihadapinya. Kebimbangan tentang keadaan kesihatannya telah menyebabkan perkahwinan Nora dengan tunangnya, Mahuzzi (lakonan Akmal Ahmad) dipercepatkan atas kehendak keluarga.

Ustaz Ghazali (lakonan Aqasha) sebenarnya lebih tahu tentang kebenaran yang menyebabkan gangguan kepada Nora. Ia adalah akibat jin yang mencintai Nora dan anak saudaranya. Mampukah mereka bebas daripada ‘pendamping’ yang tidak diundang ini?

Cerita Apa? ‘Pendamping’
Di Mana? Strim Eksklusif di Tonton

Afiqah Azizan