Categories: Gaya Hidup

6 Jenis Makanan Yang Anda Mesti Patuhi Tarikh Luputnya

Ha, cuba terus terang. Anda mesti pernah makan sesuatu makanan itu walaupun ia telah melepasi tarikh luputnya, kan?

Sebab tak nak membazir, anda telan saja asalkan ia masih sedap dan tak nampak berkulat.

Jangan risau, perkara ini biasa berlaku. Bukan anda seorang saja yang buat. Tapi anda kena ingat, bukan semua makanan yang selamat untuk dimakan selepas tarikh luputnya. Jika anda makan juga, ia boleh mendatangkan penyakit dan jangkitan bakteria.

Makanan yang okay adalah seperti roti, keropok kentang, pasta kering dan bijirin sarapan. Jom ketahui jenis-jenis makanan yang patut dibuang terus selepas tarikh luputnya. Jangan ambil risiko!

1. Bahan makanan dalam jar

Foto: Gostan Sikit

Sos dan spread seperti keju, jem atau mentega kacang nampak macam boleh tahan lama tapi mereka sering terdedah kepada bakteria yang boleh membuat anda keracunan makanan. Bakteria akan berganda sebaik saja anda membuka bekas jar ini, terutamanya jika ada berlakunya pencemaran silang.

“Bila anda membuat sandwich misalnya, anda memasukkan pisau ke dalam bekas spread itu, sapukan di roti dan kemudian memasukkan pisau itu semula ke dalam bekas tersebut.

“Dengan cara ini, anda sebenarnya memasukkan bakteria ke dalam bekas itu,” kata Jessica Crandall, seorang pakar diet pemakanan dari Denver, Amerika.

Jika anda nampak air mula terapung di dalam jar itu atau adanya perubahan warna, buang terus!

2. Pengganti telur

Telur mentah boleh tahan di dalam peti sejuk selama 3 ke 5 minggu. Egg substitute pula boleh tahan kira-kira 10 hari selepas anda membelinya atau 3 ke 5 hari selepas anda membuka bekasnya, bergantung kepada tarikh luput.

3. Keju lembut

Keju separa lembut seperti cheddar dan Gouda tak mengandungi banyak kelembapan untuk bakteria hidup. Jadi mereka boleh tahan selama 2 ke 4 bulan di dalam peti sejuk jika disimpan dengan betul (balut cheese di dalam kertas minyak, dan balut lagi dengan aluminium foil).

Tapi keju lembut seperti ricotta, cream cheese, feta, brie dan goat cheese akan rosak lebih cepat. Ia boleh tahan seminggu dua saja di dalam peti sejuk selepas dibuka. Buang terus jika anda nampak kesan-kesan tercemar, seperti kulat yang boleh membiak sekali dengan bakteria.

4. Daging deli

Foto: WebstaurantStore

Kepingan daging ayam atau ayam belanda selalunya boleh tahan selama 5 hari dari waktu anda membelinya di kaunter kedai deli atau dari waktu anda membuka plastik kedap udaranya. Jadi beli apa yang anda akan makan dalam waktu terdekat.

Daging deli terdedah kepada listeria yang boleh hidup dalam keadaan sejuk, jadi peti sejuk anda pun tak boleh memberi perlindungan. Jika ia berasa melekit ataupun berbau semacam, itu bermakna ia perlu dibuang.

5. Jus cold-pressed

Foto: Eater Vegas

Semakin ramai orang yang meminum cold-pressed juice. Jika anda salah seorang daripada mereka, ketahuilah yang jus yang diproses ini selalunya melalui pasteurisation, iaitu sebuah proses pemanasan makanan dengan tujuan membunuh bakteria merbahaya dan menambahkan jangka hayatnya.

Tapi banyak minuman cold-pressed tidak melalui proses ini dan mungkin telah dicemari, jadi tarikh luputnya patut diambil serius.

Supaya anda tak jatuh sakit, beli apa yang anda cadang nak minum dalam sehari dua ini dari kedai yang anda percayai. Pastikan ia disimpan di dalam peti ais.

6. Taugeh

Tak seperti sayuran lain, taugeh tumbuh di dalam keadaan yang panas dan lembap di mana E. coli dan salmonela boleh membiak. Bakteria dalam setiap benih boleh berganda sebelum tunas mula tumbuh.

Jadi ingat, ya! Jangan simpan jika ia dah melepasi tarikh luputnya. Kalau tak nak membazir, habiskan sebelum rosak.

Semoga informasi yang dikongsikan ini memberi manfaat kepada anda!

Sumber: Reader’s Digest

Ad Ops