Kawan Baik Cipta Lagu Untuk Nubhan

Kali terakhir muncul dengan single Kisah Kasih ciptaan Ajai tiga tahun lalu, penyanyi Nubhan kini tampil dengan single terbaru berjudul Selamat Jalan Cinta.

Menariknya, lagu ini merupakan ciptaan sahabatnya sendiri, Merak Bersyair manakala lirik oleh Intan Nur Lyana Zulkepli.

“ Lagu Selamat Jalan Cinta merupakan pengalaman hidup saya sebelum berkahwin. Saya pernah beberapa kali putus cinta. Namun jodoh kami kuat, Alhamdulillah.

“ Lagu ini saya wakilkan suara hati individu yang pernah patah hati kerana saya faham perasaan anda itu. Saya pernah alaminya.

“ Single terbaru ini memiliki nilai sebuah cinta yang sangat tinggi. Pesanan saya, jika anda menyanyangi seseorang, sayangilah sepenuh jiwa. Jangan sia-siakan si dia,” kata Nubhan kepada Xtra.com.

Menurut Intan selaku penulis lirik, dia memberitahu idea menghasilkan Selamat Jalan Cinta hanya mengambil masa selama 15 minit sahaja.

“ Segalanya berlaku dalam keadaan spontan. Ketika itu, kami ( saya, Nubhan dan seorang lagi rakan) sedang lepak di tepi pantai Port Dickson.

“ Saya bertanya kepada Nubhan sama ada dia berminat untuk membuat comeback selepas tiga tahun tidak aktif dalam karier nyanyian.

“ Hanya ‘berbekalkan’ gitar kapok diiringi deruan ombak, ilham untuk menghasilkan Selamat Jalan Cinta siap dalam masa 15 minit,” katanya.

Intan yang merupakan anak kepada dramatis Khaty Azian memaklumkan lirik lagu Selamat Jalan Cinta berkisar realiti sebenar kehidupan Nubhan.

“ Jangan salah sangka pula, lagu ini tiada kena mengena dengan kehidupan Nubhan waktu sekarang. 

“ Lagu ini menceritakan peristiwa yang pernah Nubhan lalui suatu masa dulu. Bukan sekarang ya. Rumah tangga Nubhan okay saja,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Nubhan dan isteri bakal menimang cahaya mata kedua tidak lama lagi. Tahniah Nubhan!

SGMS Faida