Categories: Gaya Hidup

Anak Steve Irwin Dedah Pengajaran Paling Bermakna Yang Mendiang Ayahnya Sempat Turunkan

“Gunakan semangat dan positiviti untuk mengubah dunia.”

Itulah pengajaran yang Bindi Irwin belajar daripada bapanya Steve Irwin a.k.a The Crocodile Hunter, seorang personaliti TV dan pencinta haiwan yang maut akibat disengat ikan pari pada 2006.

“Ada banyak perkara yang sedang berlaku di dunia sekarang,” kata warga Australia ini.

“Tapi jika kita boleh mengajar semua orang dengan cara yang positif dan teruskan hidup dengan penuh semangat, itulah caranya kita boleh membuat perubahan.”

“Ayah selalu kata ada banyak harapan di dunia ini, dan kita boleh capai macam-macam jika kita percaya pada diri sendiri.

“Bab-bab menaikkan semangat orang dan membawa mereka bersama dalam sebuah perjuangan ke arah masa depan yang cerah, ayah memang hebat.”

Bindi, 20, telah mengikut jejak langkah ayahnya dan kini bekerja sebagai seorang ahli konservasi yang berdedikasi di Australia Zoo dengan ibunya Terri dan adik lelakinya Robert.

Dia, yang baru berumur 8 tahun ketika Steve meninggal dunia, menggambarkan ayahnya sebagai “living hurricane” (sebuah taufan yang hidup). Setiap sisi bersemangat dan optimis yang Steve tunjukkan kepada lensa kamera memang sahih.

“Saya suka yang ayah telah enjoy setiap saat dalam hidupnya,” kata Bindi. “Dialah yang selalu beritahu saya untuk kekal teguh dengan pendirian saya, dan dia mengajar saya untuk sentiasa berani.

“Saya harap dia bangga dengan semua yang kami dah capai.”

Wanita muda ini membawa mesej positif ke laman media sosialnya di mana para pengikut boleh menjumpai kata-kata semangat, gambar throwback bersama ayahnya serta foto-foto yang menceritakan kehidupan haiwan di Australia Zoo.

“Saya rasa dengan media sosial, saya nak wujudkan sebuah ruang di mana sesiapa boleh mendapatkan kegembiraan dan lupakan semua benda gila yang sedang berlaku di dunia,” katanya.

“Saya harap jika seseorang itu menjumpai salah satu post saya dan dia merasa sedikit gembira atau mendapat inspirasi untuk teruskan hidup mereka, itu bermakna saya dah melakukan tugas saya.

“Saya rasa kita semua patut fikirkan yang positif saja dan sentiasa ingat untuk menggunakan platform media sosial demi perkara yang baik-baik.”

Sumber: Insider

Ad Ops