Categories: Gaya Hidup

Menangi 1,000 telekung Siti Khadijah secara percuma

Artikel ini disediakan oleh Fadzlena Jafar
fadzlena@bh.com.my

Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-10 Siti Khadijah (SK), peneraju fesyen telekung itu melebarkan sayap apabila melancarkan pelbagai produk dan aktiviti khusus untuk pelanggan setianya seiring dengan penjenamaan semula menerusi penampilan logo baharu.

Logo baharu SK itu menggambarkan transformasi yang bakal dilaksanakan SK tahun ini, termasuk pelancaran laman sesawang mini DahSedekad.com yang berkongsi pelbagai cerita menarik di sebalik kejayaan produk terbabit khususnya pengalaman pengasasnya, Padzilah Enda Sulaiman dan kisah penuh inspirasi pekerjanya sama ada di Malaysia mahupun luar negara.

Padzilah berkata, bagi mencapai kejayaan yang dikecapi hari ini banyak pengalaman suka dan duka yang dilalui beliau sebelum bergelar usahawan berjaya sehingga mampu membawa nama SK ke persada antarabangsa.

“Ketika saya memulakan perniagaan ini 10 tahun lalu, saya hanya seorang surirumah yang menyimpan impian untuk meningkatkan pendapatan keluarga. 

“Saya terpanggil untuk memulakan perniagaan menjual telekung ini apabila melihat kejayaan beberapa usahawan wanita tempatan yang mencipta nama pada usia agak lewat ketika itu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran logo baharu SK dan laman sesawang DahSedekad.com, di Putrajaya baru-baru ini.

Foto: Fadzlena Jafar

Bermula dengan dua pekerja, Padzilah menghasilkan rekaan telekung yang bukan saja anggun digayakan, tetapi apa yang lebih penting selesa dipakai ketika beribadat.

Bagi wanita cekal itu, perniagaan yang dibina diharap turut memberi manfaat kepada wanita lain dalam memantapkan ekonomi mereka. 

Tidak hairanlah ramai yang setia dengan beliau sepanjang perjalanan membina jenama SK, malah ada wanita yang pernah dibantunya dulu kini turut mempunyai perniagaan sendiri.

Beliau berkata, ketika mula memperkenalkan telekung SK di pasaran,  matlamat beliah adalah untuk mengangkat telekung sebagai produk eksklusif dalam industri fesyen.

“Dulu selain koleksi baju dan tudung saja yang mempunya jenama eksklusif, jadi impian saya biarlah telekung yang digunakan untuk kita solat juga unggul di mata masyarakat.

“Alhamdulillah berkat usaha yang dilakukan, hari ini jenama telekung SK berada pada kelas tersendiri dan kini kita lihat banyak jenama telekung lain yang muncul di pasaran,” katanya.

Foto: Fadzlena Jafar

Meskipun menganggap kehadiran jenama lain sebagai satu persaingan sihat, Padzillah berharap jenama berkenaan tampil dengan imej tersendiri dan bukan sekadar meniru rekaan SK.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran SK, Mohammad Munzir Aminuddin, berkata selepas sedekad di pasaran pihaknya bakal melebarkan sayap termasuk koleksi baharu telekung SK, pembukaan cawangan baharu dan pelancaran produk penjagaan diri menerusi pelaburan bernilai RM3.5 juta.

“Ketika ini SK mempunyai 30 butik di seluruh negara dan lima di Indonesia. Kami bakal membuka 12 lagi cawangan baharu termasuk meniinjau pasaran di Asia Barat.

“SK juga akan tampil dengan produk baharu seperti koleksi baju Muslimah dan produk penjagaan diri bagi memeriahkan industri halal di negara ini,” katanya.

Akhir Januari ini, SK bakal membuka dua cawangan butik masing-masing di pasar raya AEON Nilai dan Sungai Petani.

Mohammad Munzir berkata, bersempena dengan sambutan sedekad SK itu, pihaknya bakal memberikan 1,000 telekung SK secara percuma sepanjang 2019 menerusi pelbagai pertandingan dalam laman sesawang mini DahSedekad.com. 

Selain itu, katanya, SK juga tampil dengan drama bersiri 15 episod mengenai pengalaman pahit manis sepanjang 10 tahun membina empayar SK menerusi siaran YouTube Siti Khadijah TV.

Yanie Baharom