Categories: Gaya Hidup

Panggilan ke Befrienders percuma mulai Ogos, ketahui dulu apa fungsinya

Anda mungkin pernah dengar mengenai Befrienders, lebih-lebih lagi apabila berita mengatakan bahawa semua panggilan ke Befrienders adalah percuma mulai 1 Ogos ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengumumkan inisiatifnya untuk bekerjasama dengan lapan syarikat telekomunikasi di Malaysia, iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Bhd, Telekom Malaysia Bhd, TIME dotcom Bhd, U Mobile Sdn Bhd, Webe Digital Sdn Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd.

Menerusi kerjasama ini, sebarang panggilan yang dibuat ke Befrienders KL mulai 1 Ogos menerusi talian 03-79568145 adalah percuma.

Ini satu berita baik! Tetapi tahukah anda apa fungsi Befrienders?

Perkhidmatan untuk komuniti

Befrienders ialah pertubuhan tidak berasaskan keuntungan (NGO) yang menyediakan khidmat sokongan emosi tanpa henti. Sama seperti maksud namanya, staf yang dihubungi akan menjadi ‘sahabat’ kepada sesiapa yang menghubungi pertubuhan berkenaan membabitkan isu seperti kesihatan mental dan emosi mereka.

Dalam erti lain, jika anda atau sesiapa yang dikenali mengalami kemurungan ataupun berniat untuk membunuh diri, bolehlah hubungi Befrienders.

Menurut tinjauan mengenai kesihatan dan morbiditi kebangsaan 2017, satu daripada lima orang dewasa mengalami masalah kemurungan,manakala dua daripada lima orang pula berasa bimbang.

Selain itu, tinjauan itu juga menunjukkan 11.2 peratus daripada orang dewasa berniat untuk membunuh diri, manakala 10.1 peratus pernah cuba untuk membunuh diri! 

Data yang dikumpul itu ternyata amat membimbangkan dan golongan itu memerlukan seseorang untuk mendengar luahan hati mereka serta  memberi kata-kata semangat bagi teruskan hidup.

Befrienders boleh menawarkan perkhidmatan ini, 24 jam sehari, tujuh hari dalam seminggu. Hubungi sahaja talian yang disediakan!

Tujuan MCMC memperkenalkan panggilan percuma kepada Befrienders adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab masyarakat dalam menangani isu kesihatan dan kestabilan emosi dalam kalangan rakyat Malaysi.

Foto: NSTP

 

Selain itu, anda juga boleh berjumpa secara bersemuka dengan Befrienders untuk berbincang mengenai hal peribadi anda. Hubungi dulu dengan menggunakan talian berikut:

Hubungi Befrienders

Kuala Lumpur & Selangor: 03-7956 8145 atau e-mel: sam@befrienders.org.my.

Pulau Pinang: 04-2811108

Ipoh: 05-5477933

Melaka: 06-2842500

Seremban: 06-7653588

Johor Bahru: 07-3312300

Kota Kinabalu: 088-255788

Muar: 06-9520313

Befrienders juga menawarkan sokongan emosi, taklimat, bengkel dan seminar mengenai kemahiran pendengaran, tekanan, pencegahan cubaan bunuh diri serta kesedaran mengenai kesihatan mental kepada golongan berisiko tinggi di tempat-tempat tertentu.

Jika berminat untuk perkhidmatan ini, hubungi pejabat Befrienders di talian 03-79571306 atau hantar e-mel di alamat admin@befrienders.org.my (9 pagi – 5 petang). Anda juga boleh melawat ibu pejabat Befrienders di nombor 95 Jalan Templer, 46000 Petaling Jaya, Selangor.

Jadi jika anda memerlukan pertolongan dari segi emosi, anda tahu siapa untuk dihubungi!

Ad Ops