Categories: Gaya Hidup

‘Pulau Melayu’ tarikan baharu di Australia!

Barangkali anda pernah mendengar kisah ini, namun masih meragui kewujudan ‘Pulau Melayu’ yang terletak di wilayah Australia di Lautan Hindi. 

Hakikatnya, Pulau Melayu atau Pulau Cocos (Keeling) itu memang benar-benar wujud, malah didiami 600 penduduk berketurunan Melayu dan beragama Islam. 

Foto: regional.gov.au

Pulau Cocos adalah kepulauan kecil yang terletak sekitar 1,000 km dari Jakarta iaitu sebelah selatan Pulau Jawa di Lautan Hindi dan 2,800 km dari Perth, Australia.

Orang Melayu merupakan komuniti masyarakat yang membentuk kumpulan etnik terbesar menetap di Pulau Cocos dan sebahagian lagi adalah orang putih.

Foto: moto-r.info

Suku bangsa Melayu datang ke Pulau Cocos pada tahun 1827-1831 dibawa oleh seorang pengusaha kelapa berbangsa Scotland, John Clunnies-Ross. 

Pada awalnya, masyarakat Pulau Cocos bekerja dengan Clunnies-Ross untuk membantunya menanam pokok kelapa dan menuai hasil kelapa. 

John Clunies-Ross menukar kehidupan penduduk Melayu ketika beliau tinggal di Pulau Cocos dengan keluarganya.

Walaupun pekerjaan ini tidak banyak dilakukan lagi, namun segelintir masyarakat di sini masih mengekalkan tradisi mereka. 

Foto: regional.gov.au

Sehingga ke hari ini perayaan ala Melayu masih dijalankan. Contohnya majlis doa selamat, tahlil, manakala hari raya Aidilfitri merupakan perayaan terbesar masyarakat Cocos.

Kini Pulau Cocos mahu dimajukan dan dijadikan sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim yang pertama di Australia. 

Persatuan Koperatif Kepulauan Cocos sedang giat berusaha untuk mengubah kepulauan seluas hampir 14 kilometer persegi ini, menjadi sebuah destinasi eksklusif yang mesra Muslim. 

Foto: regional.gov.au

Caranya, termasuklah ‘menyalurkan’ pelancong Muslim ke Malaysia untuk mengunjungi Pulau Cocos.

Dari segi pelancongan, pihak koperatif mempunyai rancangan sendiri yang dipanggil Gateway To Asia. Ini untuk membangunkan pasaran kecil Muslim, antara Malaysia dengan Cocos. 

Tujuannya untuk menjadikan Cocos destinasi pelancongan mesra Muslim yang pertama di Australia. 

Foto: regional.gov.au

Kini, jumlah pelancong Muslim  ke pulau kecil ini memang tidak banyak kurang daripada 50 orang sahaja setahun. 

Namun, menerusi projek Gateway To Asia, Pulau Cocos menyasarkan untuk menarik antara 5,000 dengan 6,000 pelancong Muslim setahun. Projek itu akan mula dilaksanakan dua tahun lagi.

Bagi sesiapa yang kaki jalan tu, mungkin boleh memasukkan senatai impian tahun 2019 dengan melawat Pulau Cocos, Australia ini.

Foto: ; regional.gov.au

Pulau Cocos menawarkan laut hijau kebiru-biruan, menepati cita rasa pencinta dunia marin atau si kaki selam untuk menerokai kehidupan dasar laut yang mengujakan! 

Aktiviti alam semula jadi menjadi tarikan utamanya termasuk pelbagai sukan laut seperti snorkeling, menikmati tapak menyelam kelas dunia dan ‘safari laut’. Pulau Cocos ibarat sebutir permata yang menanti untuk digilap!

Foto: regional.gov.au

 

Yanie Baharom