12 Tahun Dalam Industri, Fourtwnty Miliki ‘Eksklusiviti’ Tersendiri

Kumpulan muzik indie terkenal Indonesia, Fourtwnty yang ditubuhkan pada 20 April 2010 lalu menjadikan kumpulan ini antara yang memiliki ‘eksklusiviti’ nya yang tersendiri.

Tidak hanya tampil dengan bait-bait kata yang indah menerusi penulisan liriknya, kumpulan yang dianggotai oleh Ari Lesmana, Nuwi dan Roots ini bukan sekadar kumpulan muzik indie semata-mata.

Menurut Ari selaku vokalis kumpulan tersebut, mereka tidak pernah menganggap media massa kini sudah tidak penting apatah lagi mereka mampu dikenali hanya dengan muzik yang mereka bawa sahaja.

“Kalau ditanya pasal eksklusiviti dan konsep kita jarang muncul di media itu sama sekali tidak benar, kerana ada momen yang kita juga harus berhadapan dengan media.

“Menurut kami, media itu memainkan peranan penting yang buat kita bersilaturrahim dan memperkenalkan apa yang kami buat.

“Memang banyak juga persoalan yang kata kami di ‘eksklusifkan’ atau mungkin kerana kami ini memang pemalu. Tapi, sebenarnya kalau kita cakap pasal media itu sampai bila-bila akan menjadi sahabat kita dan sampai hari ini kami sangat-sangat bersahabat dengan media,” katanya kepada XTRA.

Sementara itu, Fourtwnty yang terkenal dengan aliran muzik folks nya juga mengakui, ketika pandemik berlaku mereka banyak dilihat mengadakan aktiviti jamming bersama artis popular lain seperti Pamungkas, Iwan Fals dan ramai lagi bukan kerana mahu meraikan kebebasan semata-mata tetapi, itu adalah satu cara untuk mereka saling berinteraksi dengan pengkarya muzik lain.

“Sebenarnya pandemik itu antara Alhamdulillah dan tidak Alhamdulillah. Alhamdulillahnya itu kita bisa bersama keluarga, anak dan isteri. Dan ketika pandemik sudah berakhir kita masih menjalani rutin harian kita.

“Jadi, alhamdulillah juga buat perekonomiannya kerana kita harus tetap bersilaturrahim dengan pemuzik lain termasuklah bertemu Pamungkas, Iwan Fals dan lain-lain,” jelasnya.

Fourtwnty berkata demikian ketika ditemui pada sesi sidang media yang diadakan di Tree House, Park Royal Hotel, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Selain itu, berkongsi mengenai perjalanan lebih sedekad kumpulan ini dari Zona Nyaman ke Heliotropisme, Fourtwnty sebenarnya menganggap Malaysia sebagai rumah kedua buat mereka.

“Konsep Heliotropisme dipilih untuk jayakan konsert di Kuala Lumpur kerana ia punya erti buat kami. Dan kami rasa Malaysia ini macam rumah kami. Rasanya enak dan senang berada disini,” ujarnya.

Jadi, buat semua peminat Fourtwnty, jangan lepaskan peluang untuk sama-sama mendengar lantunan suara lunak vokalis kumpulan ini pada Konsert Fourtwnty Heliotropisme Live in Zepp, Kuala Lumpur pada jam 8.30 malam bermula 1 Oktober 2022 hingga 2 Oktober 2022.

Difahamkan, sebanyak 17 buah lagu akan didendangkan khas buat semua peminat Fourtwnty di Malaysia.

 

Kredit Foto: Padu Photo

Salma Syahbuddin