14 Tahun Ceburi Bidang Kulinari, Kini Anis Nabilah Diangkat Asean’s Most Influential Chef!

Cef selebriti, Anis Nabilah yang juga di bawah naungan syarikat pengurusan Universal Music Malaysia dinobatkan Asean’s Most Influential Chef pada Asean Food & Travel Awards 2022 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada awal bulan April. 

Anis Nabilah yang telah menceburi bidang kulinari sejak 14 tahun lalu berkata, dia berterima kasih kepada Tourism Malaysia kerana mempromosikan negara kita kepada dunia.

“Tahniah pada semua atas kerja keras dan usaha untuk mengembangkan industri ini, untuk negara kita, untuk Asean. Ia memerlukan semangat, pengorbanan dan daya tahan untuk berjaya dalam industri ini, terutamanya semasa pandemik, dua tahun lepas.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga, rakan dan pasukan saya, Universal Music Malaysia, Celebrity 360, kerana sentiasa mempercayai saya dan menyokong semua matlamat dan impian saya, tidak kira betapa besarnya ia. Ini untuk anda semua,” katanya.

Mengimbas semula perjalanannya hingga berada pada tahap sekarang, Anis Nabilah berkata segalanya berbeza.

“Semasa saya mula-mula dalam industri ini, memasak di TV iaitu lebih sedekad yang lalu semuanya berbeza. Tiada program realiti memasak, tiada YouTube dan tiada resipi google. Saya masih ingat sebagai seorang pelajar, cara untuk belajar mengenai masakan lain atau resipi adalah dengan membaca buku masakan atau menonton rancangan masakan yang terdapat di kaca TV.

“Tapi kini, saya melihat kanak-kanak mencipta kandungan masakan di media sosial. Maksudnya betapa ia sesuatu yang menakjubkan. Semasa rancangan pertama saya disiarkan di kaca TV pada tahun 2007, hanya segelintir daripada kami membuat rancangan memasak. Dan saya adalah ‘anak kecil’ berbanding dengan lagenda masakan yang kita ada seperti Chef Wan, Chef Ismail, Chef Florence dan ramai lagi.

“Dulu saya pernah diberitahu, saya terlalu muda untuk mengajar orang memasak. Sukar untuk wanita berjaya dalam industri ini. Tetapi saya tidak mengendahkan komen itu dan teruskan, kerana saya suka mengajar dan berkongsi resipi. Ia adalah minat saya. Saya gembira saya terus ke depan hingga membawa saya ke sini hari ini,” katanya.

Aqilah Paharuzi