Impian Rayi Putra Lancar Single Baru ‘MATAMATA’ Berkonsep Menari Tercapai!

Penyanyi kelahiran Indonesia, Rayi Putra memberitahu tahun ini dia memutuskan untuk ceburi bidang baru menjadi seorang yang mahir dalam menari, selain melagukan rap dan menyanyi.

Tidak mahu melakukannya dengan separuh hati, dia mula belajar seni tari dari penari profesional, Ufa Sofura.

Biarpun Rayi Putra tidak asing dengan dunia pentas dan persembahan, menari mengikut koreografi merupakan sesuatu yang sangat berbeza.

Dengan niat untuk menjadi lebih bagus, dia telah berlatih setiap bulan sepanjang tahun sehingga kini.

“Selama ini saya tidak rasa yang saya mempunyai lagu solo yang sesuai untuk ditarikan, sehinggalah kelahiran lagu ini,” katanya tentang single terbaharunya ‘MATAMATA”.

Lirik lagunya ditulis oleh dirinya sendiri bersama STYPHT, dan diterbitkan oleh Oomax serta DJ CZA, DJ tersohor dari Medan yang pernah mencipta nama dalam dunia hip hop Malaysia.

Melalui lagu ini, Rayi Putra telah melakukan sesuatu yang tidak pernah dia buat, iaitu melucutkan jiwa rap serta hip hopnya untuk seketika dan menggantikannya dengan nyanyian serta tarian sepenuhnya.

Musik Video single terbaru Rayi Putra telahpun dikeluarkan pada 25 Mac lalu menerusi akaun YouTube miliknya.

Aqilah Paharuzi