“Kalau Betul Saya Join Illuminati…” – Bentuk Segi 3 Dalam Muzik Video Jadi Bualan Netizen, Ini Respons Fieya Julia

Baru-baru ini, penyanyi Fieya Julia atau nama sebenarnya Nur Syafiyah Sejali, 22, telah mengeluarkan sebuah single baru dan muzik video (MV) bertajuk Mahligaimu Dari Airmataku yang dinyanyikan bersama Luqman Faiz.

Walaubagaimanapun, MV tersebut meraih perhatian wargamaya kerana terdapat bentuk segi tiga dan mata satu dalam satu babak dalam muzik video berkenaan dan timbul tuduhan ia berkait dengan illuminati.

Terkejut dengan tuduhan yang dilemparkan kepadanya, Fieya memaklumkan bahawa dia tidak menyedari babak tersebut mempunyai bentuk segi tiga seperti yang didakwa.

“Saya terkejut apabila baca komen tersebut sebab saya tak sangka netizen boleh berfikir sampai begitu sekali. Sejujurnya masa saya shooting MV itu pun saya tak perasan bentuk batu itu segi tiga.

“Bila orang komen, saya tengok balik barulah perasan rupa-rupanya batu itu bentuk segi tiga dan kebetulan pula ada babak mata saya kelihatan di tengah-tengah.

“Memang babak itu dibuat tanpa sengaja dan saya tegaskan ia tiada kena mengena dengan Illuminati. Saya sendiri tak pernah terfikir pun pasal illuminati itu,” ujarnya kepada mStar.

Menyangkal tuduhan tersebut, Fieya menyatakan yang dia tidak perlu bekerja jika menyertai Illuminati.

“Kalau betul saya join Illuminati itu, sudah tentu sekarang ini saya dah kaya, tak perlu lagi saya kerja. Buat apa saya kerja kalau dah kaya kan,” katanya.

Apapun, dia tidak marah dengan komen-komen netizen tersebut tapi merasakan kelakar kerana wargamaya boleh berfikir sebegitu. Dia juga menganggap yang wargamaya terlalu kreatif.

Lagu Mahligaimu Dari Airmataku merupakan nyanyian asal kumpulan Lestari yang dinyanyikan semula dan diberi nafas baru oleh Fieya Julia dan Luqman Faiz. MV lagu ini juga menjadi trending nombor tujuh serta meraih tontonan lebih 200,000 di saluran Youtube selepas dimuat naik pada 7 April.

Sumber: mStar

Atiqah Johari