3 Tahun Berkahwin, Shila Amzah Fail Cerai

Penyanyi Shila Amzah, 31, mengejutkan ramai dengan berita dia sudah memfailkan perceraian dengan suami, Haris Idraki Elias.

Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah memaklumkan perkara itu menerusi hantaran terbaru di Instagram miliknya pada Selasa.

Dia memberitahu sudah dua bulan dia dan anak lelakinya, Seth Uwais keluar dari rumahnya di Cyberjaya dan menumpang di rumah ibu bapanya di Hulu Langat yang kini terjejas banjir.

Shila berkata dia sudah memfailkan cerai tapi proses penceraiannya masih berjalan kerana suaminya membuat keputusan untuk memanjangkan hal ini.

Pelantun lagu Patah Seribu itu berasa amat sedih kerana rumah keluarga yang dia diami bersama ibu-bapa dan adik beradiknya dilanda banjir.

“Sekarang bila tengok rumah di Langat dah jadi macam ni, rasa sedih sangat, sebelum ni tumpang berteduh dekat rumah mak abah tapi sekarang kita semua tumpang rumah Aunty Sha,” tulis Shila.

Shila akui tidak selesa pulang ke rumah miliknya di Cyberjaya kerana suaminya masih tinggal disitu.

“Seth tak selesa, Sha pun tak selesa. Kesian satu family Sha duduk dalam satu bilik buat sementara waktu,” tulis Shila di ruangan kapsyen.

Dia berharap untuk dapat pulang ke rumahnya di Cyberjaya dan membalas jasa ibu bapanya dengan menyediakan tempat tinggal selesa buat mereka.

“Doakan Sha and family ya. Allahuakbar! Dugaan demi dugaan,” akhiri penulisan Shila dengan meminta doa orang ramai.

Hantaran Shila telah mendapat doa dan sokongan dari rakan artis dan peminat yang mengambil berat seperti Hael Husaini, Janna Nick, Shiha Zikir dan Sharnaaz Ahmad.

 

 

Arfah