7 Juta Pengikut Di Instagram, Tokti Memang Hebat!

Penyanyi tersohor tanahair, Datuk Seri Siti Nurhaliza menjadi selebriti Malaysia yang mempunyai jumlah pengikut tertinggi di laman sosia Instagram iaitu sebanyak 7 juta! Wah, hebat!

Sebagai tanda penghargaan, Siti yang sedang bercuti dengan keluarganya di Gold Coast, Australia telah mengucapkan terima kasih menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya buat tatapan umum. 

“Alhamdulillah, terima kasih buat semua pengikut yang disayangi,” tulis Siti sebagai kapsyen. 

 

Memetik laporan BH Online, Siti atau lebih mesra dipanggil Tokti ini bersyukur kerana pengikutnya sentiasa mahu mengambil tahu perkembangan diri terbaru dan masih sayangkannya walaupun sudah 25 tahun berkecimpung dalam dunia nyanyian sejak 1995 lagi. 

“Alhamdulillah, Siti gembira mendapat tahu berita ini.  Ia bermakna peminat sayangkan Siti dan sentiasa mahu mengambil tahu perkembangan diri. 

“Akaun IG digunakan bagi tatapan peminat, selain merapatkan hubungan. Siti berkongsi perkembangan kerjaya, kehidupan peribadi bersama keluarga dan apa sahaja aktiviti yang dilakukan,” kata Siti kepada BH Online.

Dalam pada itu, penyanyi yang popular dengan lagu ‘Cindai’ ini berpesan supaya netizen sentiasa mendahulukan adab dan tahu batasan apabila ingin meninggalkan apa-apa komen di laman media sosial orang lain. 

“Siti anggap IG adalah rumah Siti. Jadi, apabila berada di rumah orang, kenalah ada adab dan tahu batasan.

“Sebelum menulis apa-apa, kita kena menilai terlebih dahulu apa yang dicoret supaya tidak meninggalkan kesan negatif kepada mana-mana pihak atau berlaku perkara berbangkit pada kemudian hari,” ujar ibu kepada Siti Aafiyah ini. 

Kredit: Instagram @ctdk

Del14