Categories: HiburanTrending

“Abang, Maafkan Saya” – Tak Mampu Sumbang Lebih Banyak Dana Buat Allahyarham Ibnor Riza, Aznil Nawawi Rasa Bersalah

Pengacara tersohor, Datuk Aznil Nawawi terkilan kerana dirinya tidak berupaya untuk mengumpul dan menyumbangkan lebih banyak dana bagi merawat kanser limfoma buat penyanyi, Ibnor Riza.

Bagaimanapun, Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil reda dengan takdir Illahi.

Baginya, segala penderitaan yang ditanggung Allahyarham kini sudah hilang.

“Abang, Allah tamatkan kesakitan abang. Sekarang abang berehatlah ya.

“Maafkan saya hanya mampu berusaha setakat itu dulu. Saya terkilan tidak dapat usaha lebih untuk kumpul dana untuk abang.

“Abang, maafkan saya. Al-fatihah,” luahnya.

Aznil berkongsi perkara itu menerusi satu hantara video ringkas di laman Instagram miliknya.

Akui banyak kenangan indah tercipta bersama Allahyarham, Aznil turut mengimbau kembali detik-detik bermakna bagi dirinya bersama Allahyarham dalam video berkenaan.

Memetik laporan mStar, Aznil pernah menyerahkan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Ibnor selepas melancarkan kutipan bagi membantu arwah menampung kos rawatan kanser dihadapi.

Cetusan idea tersebut selepas Aznil bertemu penyanyi berkenaan di majlis sambutan ulang tahun mStar ke-18 dan pelancaran program mStar Baek pada 26 September lalu.

Terdahulu, Ibnor disahkan menghembuskan nafas terakhirnya pada hari Ahad jam 3:30 petang selepas dua minggu tidak sedarkan diri akibat pembedahan di kepalanya.

Sumber : mStar

Syamir Shafie