Categories: HiburanTrending

Pergerakan Terbatas, Zamani Slam Kurangkan Aktiviti Seni – “Rasa Ketat & Ada Benda Terkeluar Dibahagian Belakang”

Vokalis Slam, Zamani Ibrahim memberitahu dia perlu mengehadkan serta mengawal pergerakan gara-gara berasa sakit.

Ia ekoran keadaan tulang belakangnya yang melengkung kesan daripada penyakit skoliosis.

Bagaimanapun, Zamani telah menjalani pembedahan di sebuah pusat perubatan swasta di Cheras pada 7 November tahun lalu.

Malah, dia menarik nafas lega serta bersyukur apabila doktor memaklumkan keadaannya kini stabil.

Pun begitu, menurut Harian Metro, Zamani perlu mengambil tindakan berjaga-jaga dan tidak boleh terlalu aktif kerana dia sudah mula berasa sakit pada bahagian tubuh badannya.

“Bila saya padat bekerja terasa sakit juga, rasa ketat dan rasa ada benda terkeluar di bahagian belakang. Saya akan jumpa doktor untuk pemeriksaan pada 21 Disember ini.

“Sebelum ini tak jumpa doktor. Saya telefon doktor beritahu benda ini dan akan pergi selepas menjayakan persembahan di Pesta Pulau Pinang.

“Saya tak pasti masalah ini besar atau kecil dan itu sebabnya saya nak kena jumpa doktor untuk tengok sama ada antara tempat ikat benang ataupun benda lain,” katanya.

Dedah pelantun lagu Gerimis Mengundang itu, dia tidak mempunyai masa terluang untuk membuat pemeriksaan di pusat perubatan kerana sibuk memenuhi undangan nyanyian.

Bimbang keadaan kesihatan makin melarat, Zamani mengambil keputusan untuk berjumpa doktor.

“Saya beli basikal untuk buat senaman sendiri di rumah. Berjumpa doktor itu tidaklah. Salah seorang peminat saya yang ada masalah sakit belakang dan dah buat pembedahan, tapi sekarang kena buat semula.

“Bila isu itu timbul, saya mula rasa takut kerana tak buat fisioterapi. Jadi selepas ini saya akan mula jumpa doktor. Sebenarnya sekarang pun saya dah mula kurangkan aktiviti seni.

Menurutnya, dia sudah mula menolak beberapa jemputan nyanyian atas faktor kesihatan.

Malah, dia juga ingin memberikan fokus sepenuhnya kepada persiapan Concert UK’Slam Musical yang bakal menemui peminat pada 3 Februari tahun depan.

“Banyak juga tawaran datang tapi saya tak ambil semua. Pertamanya sebab kesihatan dan keduanya sebab Slam dah aktif semula. Saya rasa tanggungjawab saya untuk seimbangkan.

“Takut nanti masa konsert orang tak nak datang. Jadi kena terima hakikat itu. Bila dah buat banyak show, orang takkan nak datang tengok konsert,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Syamir Shafie