Categories: Drama

Perspektif Pengarah: Barisan Bakat Muda ‘Alice Kampung Baru’ Dipilih Khas Oleh Liyana Jasmay

Cabaran dunia remaja tidak wajar dipandang enteng. Namun, sokongan insan-insan tersayang pasti membantu meringankan beban yang dirasai. Siri Tonton Eksklusif terbaharu yang berjudul ‘Alice Kampung Baru’ memaparkan perhubungan yang bermakna ini.

Drama ini meraikan semangat si gadis ceria, Alice, dan ibunya, May, yang memulakan kehidupan di ibu kota. Ia juga memberi fokus kepada persahabatan yang terjalin dengan watak-watak yang mempunyai pelbagai ragam. ‘Alice Kampung Baru’ adalah hasil arahan Liyana Jasmay yang sudah berkecimpung dalam industri seni tanah air sejak kecil lagi.

Menurut Liyana, ‘Alice Kampung Baru’ membawa tema kisah remaja yang beransur matang serta cabaran untuk menyesuaikan diri di tempat baharu. “Ia menceritakan tentang masalah remaja – apa yang mereka hadapi setiap hari dan apa yang mereka inginkan,” ujarnya. Kisah ini juga diolah dengan pendekatan supaya Alice dapat mencari matlamat dirinya.

Bakat muda yang menjayakan ‘Alice Kampung Baru’ adalah Amelia Christie (Alice), Sharifah Rose (Siska), Serra Kamal (Ria), Aniq Durar, (Raz) Alif Muhaimin (Hilmi) dan Muntazar Ghufran (Alif). Menariknya, barisan pelakon yang membintangi siri ini telah dipilih sendiri oleh Liyana. “Saya memilih pelakon-pelakon ini sendiri dengan melihat hasil kerja mereka terdahulu serta Instagram mereka dan bagaimana mereka berbicara. Saya sendiri menelefon seorang demi seorang. Saya tidak buat uji bakat terbuka. Saya cuma panggil siapa yang rasa mempunyai potensi,” kata Liyana.

Pilihannya membuahkan hasil kerana pengalaman bekerja bersama bakat-bakat muda ini menjadi detik terindah baginya sepanjang penggambaran. Liyana turut memberi pujian kepada mereka atas sikap yang baik serta lakonan yang memuaskan.

Bagi setiap penggambaran, pasti ada cabarannya. Begitu juga untuk siri ini. “Cabaran terbesar adalah penggambaran setiap hari di luar kerana 90 peratus siri ini adalah di luar. ‘Indoor’ kita sikit sangat. Cabaran saya adalah untuk memastikan penggambaran di luar berjalan lancar sebab sewaktu sesi penggambaran, ia adalah pada musim hujan,” terangnya.

Sambungnya lagi, “Alhamdulillah, semua set kita nak, kita dapat rakam Kampung Baru. Kita tak ‘cheat’. Di mana-mana kita rakam adalah di Kuala Lumpur. Visual yang anda akan nampak tu adalah Kampung Baru, Kuala Lumpur.”

Mengakhiri temu bual, Liyana meluahkan harapannya agar penonton akan suka dengan kisah remaja ini. “Apa yang kita cuba nak sampaikan hanyalah suatu cerita yang menyentuh hati. Ia adalah sebuah perjalanan dan hubungan antara ibu dan anak perempuannya.”

“Cerita ini mempunyai pelbagai elemen hubungan tersebut. Ibu bapa pun patut tonton cerita ni supaya boleh lebih memahami remaja.”

Cerita Apa? ‘Alice Kampung Baru’
Di Mana? Strim eksklusif HD di Tonton

Afiqah Azizan