“Suami membawa saya pergi ‘scan’, tadi. Alhamdulillah, syukur,” demikian tulis pelakon, Abby Abadi yang seolah memberi bayangan sedang hamil.

Abby Abadi yang cukup terkenal dengan watak Inspektor Aleeza dalam drama bersiri Gerak Khas itu memberitahu di Instagram suaminya, Faizal Zakaria membawanya ke klinik untuk menjalani ujian imbasan.

“ Nanti sahaja saya cerita. Segan nak cerita sekarang… Awal lagi.

“Untuk doktor, jangan serik jumpa saya setiap bulan mulai bulan ini ya,” katanya menerusi hantaran di Instagram, baru-baru ini.

Terdahulu, Abby yang sudah empat tahun berkahwin pernah mengalami keguguran ketika kandungannya memasuki bulan ke lima pada 2017.

Sebelum ini, menerusi perkahwinan dengan aktor, Norman Hakim, Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 42, dikurniakan tiga cahaya mata, Mohamed Danish Hakim, 16, Marissa Dania Hakim, 14, dan Maria Danisha Hakim, 11. Mereka bercerai pada tahun 2008.

SGMS Faida