ABPBH 35: Bakat Atau Kontroversi? Versatile Atau Kayu? Ini Ramalan Siapa Juara Bagi Kategori Aktor & Aktres Filem Popular

Debaran Anugerah Bintang Popular Berita Harian Ke-35 (ABPBH 35) kian terasa apabila program anugerah berprestij itu bakal bersiaran secara langsung pada malam ini.

Pastinya, ramai dalam kalangan peminat sudah berteka-teki, siapakah artis kesayangan mereka yang bakal membawa pulang gelaran juara bagi Kategori Aktor Filem   dan Aktres Filem Popular untuk edisi ke-35 ini.

Jika diteliti antara senarai 5 pelakon filem lelaki yang tercalon seperti, Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Zul Ariffin dan Zizan Razak, pastinya sukar untuk membuat pilihan.

Namun, berdasarkan filem dan watak yang diberikan dalam naskhah lakonan, semestinya peluang untuk meraih gelaran juara bagi Kategori Aktor Filem Popular itu berpihak kepada Beto Kusyairy.

Ini kerana, kekuatan watak dan impak lakonan yang dibawakan dalam filem Imaginur dan Mat Kilau menjadi bukti kenapa Beto di ramal bakal membawa pulang gelaran juara bagi kategori tersebut.

Bagi Kategori Aktres Filem Popular pula,  semestinya ramalan kali ini berpihak pada pelakon jelita, Diana Danielle sekaligus mengetepikan pencabarnya yang lain seperti Sofia Albarakbah, Janna Nick, Ahirine Ahirudin dan Maya Karin.

Hadir dengan watak Nur menerusi filem Imaginur, Diana boleh disifatkan sebagai aktres yang bijak kerana mampu membuatkan penonton berasa benci dalam masa sama ‘jatuh cinta’ dengannya menerusi filem tersebut.

Bahkan, filem arahan Nik Amir Mustapha itu  juga boleh dianggap antara filem terbaik yang dihasilkan pada tahun ini kerana berani tampil kreatif dengan jalan ceritanya yang tidak skeptikal.

Apapun, itu hanyalah sekadar ramalan berdasarkan filem lakonan mereka sahaja.

Sekadar info, proses pemilihan calon Top 5 bagi setiap kategori adalah berdasarkan 70 peratus undian daripada peminat dan 30 peratus lagi daripada juri profesional.

Calon yang mendapat undian terbanyak bakal dianugerahkan sebagai juara dengan gelaran Bintang Paling Popular ABPBH 35.

 

Mengangkat tema Ekspresi Legasi Seni, jangan lupa tonton ABPBH 35 yang akan dihoskan oleh Johan dan Ain Edruce pada jam 9 malam ini hanya di TV3.

ABPBH 35 juga boleh distrim secara langsung melalui platform Tonton anda.

Salma Syahbuddin