#ABPBH31: Aizat Tak Pernah Undi Diri Sendiri

Penyanyi dan komposer terkenal, Aizat Amdan meluahkan rasa syukur apabila namanya terpilih antara calon penyanyi lelaki popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 31 (ABPBH).

Aizat ketika ditemui di Showcase Muzik-Muzik 33 di IOI Mall, Putrajaya, sebentar tadi mengaku tetap teruja walaupun masih di peringkat Top 20.

“ Sekiranya dipilih, Alhamdulillah… Kalau tak dipilih pun tak apa. Apapun, terima kasih bagi yang mengundi dan rasa sekiranya saya layak ke Top 5,” katanya.

Ketika diusik sama ada Aizat pernah mengundi diri sendiri di portal laman web www.abpbh.com.my sebelum ini, penyanyi berusia 29 tahun ini tertawa kecil.

“ Tak pernah…saya tak pernah undi diri sendiri. Soal menang kalah semuanya biar peminat yang tentukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Aizat memaklumkan dia telah memilih calon terbaik dijadikan protege untuk progam Mentor 7.

“ Alhamdulillah saya dah dapat tiga calon berbakat dan tak sabar untuk bekerja dengan mereka. Ini merupakan pengalaman pertama bergelar Mentor 7, sudah tentu saya teruja.

“ Untuk pemilihan awal saya pilih tiga orang namun untuk peringkat seterusnya saya akan pilih dua sahaja,” ujarnya.

Aizat turut memberitahu ketiga-tiga calon protege merupakan lelaki dan ‘satu kepala’.

“ Senang bekerja dengan mereka. Saya jenis tak suka buang masa sebab kita kesuntukan masa, program ini hanya  ada tiga bulan saja untuk belajar.

“ Yang paling penting, ketiga-tiga boleh bermain gitar,” katanya.

SGMS Faida