ABPBH35: Adi Putra Kekal Unggul Bolos Top 5 Aktor Filem Popular, Anggap Filem Mat Kilau Beri Impak Besar

Aktor popular Datuk Adi Putra meluahkan rasa syukur apabila tercalon dalam kelompok Top 5, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 bagi kategori Aktor Filem Popular.

Menurut anak seni asal Singapura itu, dia memberi ruang sekiranya bakat baharu diangkat menggenggam trofi tersebut kerana akui dirinya semakin berusia dan populariti bukan lagi perkara yang dikejarnya.

“Saya sedar saya sudah berumur jadi jika dinobatkan, Alhamdulillah dan generasi akan silih berganti.

“Bagi saya kita harus terima hakikat yang saya sudah berusia.  Tiada apa lagi yang ingin saya kejar dalam dunia glamor.

“Apa yang saya nak sampaikan adalah mungkin peminat ada pelbagai perspektif seperti anggap saya sudah berhijrah, hijrah ada banyak kaedah seperti pakaian, permikiran dan sebagainya.

“Untuk ABPBH kali ini, kalau dinobatkan, Alhamdulillah. Kalau ada yang baharu, dipersilakan, saya memberi ruang kepada yang baharu,” katanya kepada XTRA.

Dalam pada itu, Adi tidak menyangkal filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan menjadi salah satu faktor kejayaannya bertaruh dalam kategori tersebut.

“Saya tak nafikan filem Mat Kilau itu memberi impak ke atas nama saya dan bersyukur.

“Selepas daripada itu, ramai bertanyakan saya adakah terdapat sekuel kedua filem itu. Manusia takkan lari daripada kepuasan.

“Saya rasa takut apabila Allah berikan saya impak yang besar kepada kerjaya saya, saya takut nak pikul amanah di bahu saya,” ujarnya.

Selain Adi, turut bersaing bagi kategori Aktor Filem Popular termasuklah Beto Kusyairy, Fattah Amin, Zizan Razak dan Zul Ariffin.

Peminat boleh layari www.abpbh.com.my bagi meneliti senarai Top 5 atau finalis edisi ke-35.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Anak Istimewa Adi Putra Undang Hiba, Kongsi Alami Masalah Pendengaran Sejak Usia 6 Bulan – “Ini Satu Amanah Allah’

Khairil Khusyairi