Adakah Komen Edry, Punca Ayie Tersingkir?

Menyanyikan lagu Puncak Kasih, nyanyian Ziana Zain pada konsert kedua ini nyata bukan sesuatu yang mudah buat protege Siti Sarah, Ayie. 

Cuba mempersembahkan kelainan pada konsert kali ini, juri tetap iaitu Edry Abdul Halim menyifatkan persembahan Ayie adalah sesuatu yang merepek. Dan, ini sekaligus memberi impak yang besar buat protege dan juga undian beliau.

“Saya rasa persembahan awak merepek. Saya dengar banyak kekurangan membuatkan persembahan awak pada malam ini tidak menjadi. Dengan tiada kawalan vokal.” Katanya ketika memberikan komen pada malam konsert.

Ternyata persembahan dan vokal Sairi Sari Osman atau Ayie pada konsert kedua ini bukan sahaja gagal memikat hati juri tetap, tetapi turut gagal memikat hati juri awam apabila sekadar memperolehi 12 daripada 20 markah yang juga merupakan markah terendah dikalangan protege lain.

Justeru itu, Ayie, 36 merupakan protege pertama yang tersingkir daripada konsert Mentor Otai yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam semalam.

Pada setiap konsert, juri profesional akan mewakili 50 peratus markah keseluruhan, manakala 20 peratus daripada juri awam dan 30 peratus lagi hasil undian atas talian menerusi portal kami di www.xtra.com.my/mentorotai

Konsert Mentor Otai ini akan bersiaran selama enam minggu dan akan mempertaruhkan hadiah wang tunai sebanyak RM100K. Jadi jangan lepaskan peluang anda untuk mengundi protege pilihan masing-masing. Kepada sesiapa yang terlepas untuk menyaksikan konsert kedua Mentor Otai anda juga boleh menyaksikan konsert secara siaran HD di www.tonton.com.my

Salma Syahbuddin