Adele Umum Bakal Muncul Album Baru Bulan Depan

Penyanyi terkenal, Adele mengumumkan bahawa album baharunya yang berjudul 30 akan dilancarkan pada 19 November ini.

Adele membuat pengumuman itu menerusi ‘tweet’ di Twitter semalam.

“30 – November 19,” tulisnya ringkas.

Dalam ‘tweet’ yang sama, Adele turut berkongsi mengenai perjalanan karyanya.

“Ketika saya memulakan langkah pertama tiga tahun lalu, saya tidak sangka langkah saya akan pergi sejauh ini.

“Saya hanya bergantung kepada rutin dan sentiasa konsisten untuk merasa selesa dan selamat. Namun, saya sebenarnya meletakkan diri saya dalam situasi yang sukar!” tulisnya.

Menurutnya, dia telah belajar banyak perkara sepanjang perjalanannya itu yang mana mengubah dirinya menjadi siapa dia pada hari ini.

“Saya belajar banyak pengalaman yang sukar sepanjang perjalanan saya. Saya menutup diri saya. Akhirnya, saya sedar bahawa saya mula menemui perasaan saya semula. Setakat ini, inilah saat di mana saya merasa tenang,” tulisnya.

Album 30 menjadi bualan ramai sekarang dan ramai peminat setia Adele menanti-nantikan album barunya itu.

Album tersebut adalah album pertama Adele sejak 2015. Single terbaru dari album itu, Easy On Me akan mula dilancarkan esok.

Marcella