[VIDEO] Adib Pisang Cheese Kini Bergelar Pilot, Netizen Tumpang Gembira Impian Sejak Kecil Tercapai

Personaliti media sosial, Adib Aidil, 25, kini bergelar juruterbang bagi sebuah syarikat penerbangan tempatan.

Pernah mencipta fenomena beberapa tahun lalu gara-gara mengusahakan perniagaan ‘Pisang Goreng Cheese’ sehingga tular, Adib kini berjaya menemui kerjaya idamannya sejak kecil lagi.

Perkara tersebut disahkan apabila beberapa rakaman video memaparkan seorang wanita yang juga juruterbang dikenali sebagai Anaqah Ismail memuat naik momen bersama Adib ketika bertugas di awan biru.

Dalam salah satu video tersebut, wanita berkenaan seolah mengusik Adib dengan trademark ‘biasa maksudnya?’.

“Maaf, Encik. Kamu tahu cara (bercakap) seperti ‘biasa’?.

“Biasa? Biasa maksudnya? Terbang bersama abang pisang cheese tetapi tidak mendapat apa-apa pada hari ini. Mungkin saya perlu pergi ke Kajang haih,” tulisnya dalam nada seloroh.

Menerusi video pendek tersebut, Adib kelihatan segak mengenakan uniform syarikat penerbangan tersebut dan berkaca mata.

Menjengah ke ruangan balas, rata-rata warga maya meluahkan rasa gembira apabila melihat Adib berjaya mengejar impiannya untuk bergelar juruterbang.

Untuk info, Adib pernah tular apabila gelagatnya melenggokkan kepala ketika bertanya ‘Biasa? Maksudnya?’ kepada pelanggan.

Adib juga pernah meraih populariti apabila pernah disambar menjadi model bagi beberapa jenama pakaian tahun lalu.

Khairil Khusyairi