Ahmad Idham Dakwa Segelintir Pengurus Artis Berlagak ‘Diva’, Beri Pesanan Kepada Pelakon Baru Untuk Kekal Relevan

Pelakon dan pengarah, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri mendakwa kebanyakkan pengurus artis tidak mempunyai kelayakan dan hanya sekadar menjaga beg pakaian dan menjadi pemandu artis sahaja.

Menurutnya, dia pernah berurusan dengan pengurus artis yang berlagak ‘diva’ lebih daripada artis yang diuruskannya itu.

“Sebenarnya, ramai artis tidak sedar punca mereka hilang dari industri hiburan kerana mengambil pengurus yang tidak berkelayakan terutama untuk berurusan dengan penerbit.

“Saya pernah hubungi seorang pengurus artis yang meletak harga tidak munasabah, sedangkan saya belum beritahu lagi watak ditawarkan,” katanya semasa ditemui di sidang media drama bersiri Bukan Sekadar Lafaz yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama, semalam.

Disoal tentang kemunculan ramai pelakon baru, Ahmad Idham mengatakan kebanyakkan mereka tidak memahami aspek lakonan serta tiada jiwa dalam mendalami watak.

“Pelakon baru sepatutnya bersyukur kerana dapat peluang berlakon watak utama bersandarkan wajah kacak dan jelita, tapi bila kita suruh buat babak menangis tak boleh buat.

“Sebagai pelakon baru, bila dapat tawaran berlakon tu sepatutnya ambil inisiatif untuk pergi kelas lakonan kerana yang datang kelas selalunya pelakon tambahan.

“Mereka perlu ingat, nak masuk dalam industri dengan bersandarkan wajah kacak dan jelita itu senang tapi nak terus kekal relevan bukan mudah,” jelasnya.

Sebagai seorang penerbit dan pengarah, dia juga tidak mahu mengambil artis yang bermasalah untuk bekerja di bawah produksinya.

“Saya sudah lebih dua dekad dalam industri ini dan selalunya bila mahu mengambil artis berlakon dalam produksi, saya juga akan bertanya pada rakan media atau wartawan senior dalam industri seni.

“Setakat ini, saya tidak berdepan dengan masalah itu. Saya pernah mengambil pelakon Sophia Albarakbah yang banyak terpalit dengan kontroversi tapi bila bekerja dengan saya, dia okay dan tidak timbulkan masalah pun di lokasi,” ujarnya.

Maya Basir