Aina Abdul Cabar Diri Tunai Umrah Pada Bulan Puasa – “Sudah Tiba Masanya Saya Ambil Ruang Membersihkan Diri”

Penyanyi Aina Abdul meluahkan rasa teruja menunaikan ibadah umrah dan menyambut Ramadan di Tanah Suci Makkah buat pertama kali dalam hidupnya.

Memetik laporan Berita Harian, Aina berkata dia akan berkampung di tanah Arab selama separuh Ramadan dan memberi sepenuh tumpuan kepada ibadah umrahnya itu.

“Saya bertolak ke Tanah Suci menunaikan ibadah umrah bersama ibu dan kakak. Ini adalah kali pertama, saya tak pernah menjejak kaki ke Makkah dan Madinah sebelum ini.

“Alhamdulillah, kali ini saya diberi peluang dan teruja memandangkan saya juga sudah lama bekerja. Jadi, sudah tiba masanya saya mengambil ruang membersihkan diri.

“Jujurnya, saya menanti masa untuk menunaikan umrah. Jadi, saya akan menyambut Ramadan, di mana separuh Ramadan saya akan menumpukan perhatian pada amal ibadah,” katanya.

Dalam pada itu, juara Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL 37) ini memaklumkan dia mahu merasai sendiri pengalaman menunaikan ibadah umrah pada bulan Ramadan.

“Ramai ahli keluarga dan rakan mengatakan saya berani ke Tanah Suci Makkah pada Ramadan. Ini kerana umat Islam berpusu-pusu ke sana pada bulan puasa. Orang kata cabarannya dua kali ganda.

“Saya rasa kena pergi dahulu dan rasa sendiri barulah boleh menilai. Tak mahu hanya mendengar kata-kata orang, saya mahu mencuba sendiri. Insya-Allah, semuanya akan baik-baik sahaja,” jelasnya.

Aina kini berada di tanah suci Makkah bagi menunaikan ibadah umrah bersama ahli keluarganya.

Khairil Khusyairi