Ajak Tolak ‘Lamaran’ Dua Stesen Radio?

Pelawak terkenal Ajak Shiro mengakui dilamar dua buah stesen radio dua hari selepas menamatkan perkhidmatan di Hot FM.

Akui Ajak atau nama sebenarnya Mohamad Hanafi Razak bukan niatnya untuk ‘jual mahal’ tetapi dia kini memberi tumpuan kepada single pertamanya berjudul Yang Mano yang bakal dikeluarkan tidak lama lagi.

“ Terkejut juga sebaik sahaja saya meninggalkan konti Hot FM, ada dua buah stesen (tak disebutkan) menghubungi saya untuk menawarkan posisi sebagai penyampai radio mereka.

“ Jujur saya kata, saya amat selesa menjadi penyampai radio cuma bukan sekarang. Lagi terbaharu saya juga bakal dihantar ke radio dan saya berharap lagu ‘Yang Mano’ dapat dimainkan di seluruh stesen radio.

“ Jika saya masih bergelar penyampai radio, secara profesional penyampai radio tidak akan memainkan lagu sendiri. Jadi lebih baik saya fokus dalam bidang nyanyian dan lakonan dahulu,” katanya yang bakal tampil dengan single berjudul Yang Mano ciptaan komposer Altimet dan Ezra Kong. 

Namun begitu, selebriti berusia 33 tahun ini tidak menolak kemungkinan untuk bergelar penyampai radio semula jika mendapat tawaran bersesuaian kelak.

” Kalau kena dengan masa, saya tidak keberatan untuk kembali ke konti cuma buat masa sekarang saya mahu fokus bidang lain dahulu dan meluangkan masa dengan keluarga,” katanya kepada XTRA.

 Ajak menyertai Hot FM pada 2016, mengendalikan segmen Geng Pagi Hot bersama Shuk Sahar dan Fizie yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, bermula jam 6 hingga 10 pagi.

SGMS Faida