Categories: familuv

Layakkah anak tidak sah taraf mendapat harta ‘bapa’nya? Ini pencerahannya!

Anak tidak sah taraf (anak yang dilahirkan hasil daripada perbuatan zina dan bukan daripada perkahwinan yang sah), sering kali mendapat cemuhan masyarakat kerana tidak mempunyai keturunan yang baik. Anak itu tidak bersalah, malah bukanlah pilihannya untuk dilahirkan dalam keadaan begitu.

Jika diberi pilihan, pasti semua orang mahu dilahirkan dalam keluarga yang hidup senang, kaya, dan baik budi pekerti.

Melihat kepada implikasi hukum Islam yang berkaitan, hubungan kekeluargaan anak tidak sah taraf dihubungkan kepada ibunya sahaja. 

Ini bermaksud ‘bapa zina’ dianggap seperti orang asing yang tiada kaitan dengan anak berkenaan, maka ini bukan sahaja memberi kesan kepada pergaulan dan aurat, bahkan soal pewarisan harta pusaka.

Dari segi pewarisan, anak itu tidak berhak menuntut hak faraid daripada harta ‘bapa zina.’

Kita tidak menafikan semua orang boleh berubah menjadi baik. Mungkin ‘kesilapan’ lampau itu dilakukan ketika bapa terbabit masih mentah dan tidak matang. Oleh itu, walaupun tiada perhubungan kekeluargaan yang sah antara kedua-duanya, mungkin wujud sifat kebapaan untuk mewariskan sebahagian hartanya kepada anak itu. 

Dalam situasi ini, dokumen hibah adalah yang paling sesuai untuk disediakan oleh bapa, kerana hartanya boleh diwariskan kepada sesiapa sahaja. 

Selain implikasi status anak tidak sah taraf, di bawah ini turut dijelaskan hak dan harta yang layak diwarisi anak ini. 

Foto: Page Six

Implikasi anak tidak sah taraf dalam Islam

Penamaan dan nasab

1. Tidak boleh dibin atau dibintikan kepada bapa zina. Hendaklah dibin atau dibintikan Abdullah atau nama ‘Asma’ ul-Husna’ lain yang berpangkalkan Abdul.

Pergaulan dan hubungan

1. Bebas menjalin hubungan seperti kanak-kanak Islam yang sah tarafnya.
2. Hukum pergaulannya dengan ‘bapa zina’ adalah sama seperti lelaki asing yang tiada kaitan dengannya (bukan mahram).
3. ‘Bapa tiri’ dan keluarga ‘bapa tiri’ tidak termasuk dalam ahli keluarganya.
4. Anak di sebelah ibunya dan ahli keluarga sebelah ibunya adalah ahli keluarganya yang sah.

Nafkah dan penjagaan

1. Nafkah dan saraan hidup di bawah tanggungjawab ibunya, bukan ‘bapa zina.’
2. Rujuk peruntukan dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303) Seksyen 80(1).
3. Penjagaan kanak-kanak tidak sah taraf adalah semata-mata pada ibu dan saudara mara ibu  – Seksyen 85.

Harta pusaka

1. Saling mewarisi. Anak tidak sah taraf mewarisi harta ibunya dan sebaliknya ibunya mewarisi harta anak terbabit.
2. Anak tidak sah taraf tidak mewarisi harta ‘bapa zina’ dan sebaliknya juga.

Perwalian

1. Wali perkahwinan ialah wali hakim (iaitu Yang diPertuan Agong/ Sultan/ Raja atau individu yang diberi tauliah)

Kematian

1. Kematian anak tidak sah taraf yang belum baligh adalah mengikut agama ibunya. Jika ibunya beragama Islam, maka anak akan diurus secara pengurusan jenazah Islam.

Yanie Baharom