AJL 37: Dedikasi Persembahan Terus Hidup Untuk Arwah Bapa, Aina Abdul Dedah Makna Sebenar Disebalik Tema Kepulan Awan – “Sebenarnya Ada 3 Transisi Berbeza…”

Meremang! Itulah yang boleh diungkapkan selepas usai persembahan mega finalis ke-11, Aina Abdul yang mempertaruhkan lagu Terus Hidup di AJL 37.

Serba lengkap dengan penjiwaan mendalam dan kawalan emosi bertaraf antarabangsa seni persembahan Aina di pentas Axiata Arena, Bukit Jalil tidak dinafikan sangat gah serta membawa 1001 makna tersirat.

Selain susunan atur muzik orchestra diketuai oleh maestro ternama, Datuk Ramli MS, persembahan Aina juga diiringi oleh dengan bunyi petikan gitar dan violon di atas pentas.

Artikel Berkaitan: AJL 37: Mencari Asal Usul ‘Aina Abdul’ Yang Jauh Menghilang Antara Persediaan Terus Hidup – “Saya Rasa Tak Jujur…”

Bercerita mengenai maksud disebalik pemilihan tema kepulan awan, Aina berkata dia mendedikasikan persembahan Terus Hidup khusus untuk arwah bapanya, Abdul Ghani.

Menurut Aina, awan yang tertera di atas pentas merupakan simbolik kepada insan tersayang yang telah pergi meninggalkan dirinya.

“Saya memutuskan untuk memilih tema awan selepas pulang dari bercuti. Ketika itu, sepanjang berada dalam kapal terbang, saya dapat melihat kepulan awan yang bergelora ada juga dalam keadaan tenang kemudian.

“Di kesempatan itu saya berpeluang untuk berfikir panjang. Tetapi, saya juga mendedikasikan persembahan Terus Hidup ini kepada arwah ayah saya, Abdul Ghani.

“Awan yang tertera di atas pentas itu merupakan simbolik kepada orang yang sudah tiada, yang tidak dapat dikawal oleh seorang manusia biasa,” katanya.

Di kesempatan itu, disoal mengenai cerita sebenar disebalik kilauan kilat silih berganti dan awan hitam menyelubungi paparan skrin, Aina berkata lagu ini sebenanrya terbahagi kepada tiga transisi.

Transisi awal berlatarbelakangkan awan putih, di tengah-tengah persembahan kepulan awan hitam dan pancaran kilat menceritakan bahagian bridge lagu tersebut dan awan senja merah jingga seperti matahari terbenam di akhir nyanyiannya.

Setiap transisi tersebut menceritakan tiga kisah yang berbeza dalam kehidupan seorang anak yang kehilangan insan tersayang.

“Transisi pertama diawal lagu tersebut menceritakan mengenai seorang anak yang cuba bercerita mengenai hati. Di bahagian bridge muncul kilat dan petir menandakan hati saya yang sedang memberontak.

“Di bridge itu adalah emosi saya yang tengah marah. Saya rasa bila kita rindu seseorang, kita akan menjadi emosi. Ada hari kita marah mengharapkan insan itu kembali. Jadi kita mula menyalahkan keadaan, agama, segalanyalah. Kita mempersoalkan mengapa perkara ini terjadi.

“Waktu akhir sekali skrin memaparkan keadaan senja dan saya berada dalam keadaan melutut. Ketika itu saya meletakkan diri saya dalam tahap yang sekiranya saya nak berkabung atau bersedih, saya dah bersedia untuk move on dan melepaskan insan itu pergi.

“Saya mahu ‘terus hidup’, jadi moodnya berada dalam senja menunjukkan kita berada dalam keadaan tenang. Sebab itu semasa menyanyikan lagu tersebut di saat senja itu saya banyak pandang atas.. mengatakan saya melepaskan orang it” jelasnya lagi.

AJL 37 didimensikan oleh Alha Alfa Cosmetics sebagai penaja utama bagi menghangatkan acara yang memartabatkan lagu terbaik, tahun ini.

Gunakan hashtag #AJL37 dan #roadtoAJL37 untuk menghangatkan lagi perbualan di laman sosial media.

Aqilah Paharuzi