AJL 37: Gementar Jadi Finalis Paling Muda, Iman Troye Akui Tercabar – “Dulu Saya Duduk Atas Sekali Di Kerusi Penonton, Sekarang Saya Tercalon”

Penyanyi, Iman Troye atau nama sebenarnya Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin mengakui gementar menjadi finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-37 paling muda untuk edisi kali ini.

Meskipun baru beberapa tahun menjejakkan kaki dalam industri seni, Iman, 21, yang mempertaruhkan lagu Nang itu bersyukur atas kurniaan Illahi.

“Sejujurnya, sehingga kini saya memang tak jangka saya menjadi finalis AJL 37, selepas gagal pada AJL 36 lalu. Saya sangat-sangat gembira atas peluang yang diberi. Ini adalah satu anugerah Allah SWT, rezeki yang saya tak pernah terlintas sebelum ini.

“Dulu masa umur saya 18 tahun, saya datang menyaksikan AJL secara langsung di Axiata duduk di tempat penonton atas sekali. Sekarang, Alhamdulillah saya tercalon dan dapat berdiri atas pentas bersama artis-artis senior yang saya kagumi, memang sangat bahagia dan saya akan gunakan peluang ini sebaik mungkin.

“Saya baru dua tahun berkecimpung dalam industri hiburan, mungkin pada orang lain saya tak layak untuk masuk AJL sebab masih mentah katanya. Tetapi pada saya dua tahun adalah jangka yang sangat lama sebab saya belajar pelbagai benda.

“Saya masih merangkak lagi dalam industri, banyak yang perlu dibaiki. Niat saya untuk berdiri atas stage ini adalah untuk pencipta kita, keluarga dan peminat lagu Nang. Kalah menang itu tolak tepi, rezeki masing-masing. Apa-apa pun, saya akan cuba yang terbaik,” katanya.

Cabaran AJL-37

Disoal mengenai pelantun lagu Teman ini tercabar dengan finalis AJL 37 yang lain, Iman berkata dia sangat takut untuk berdiri satu pentas bersama penyanyi lagenda, namun dia mahu memberi tumpuan kepada pembawaan lagu secara menyeluruh.

“Terlalu ramai persaingan dan saya belum layak untuk bersaing dengan mereka, masih muda dan banyak perlu dipelajari. Untuk sama taraf dan setanding, masih jauh lagi perjalanan saya.

“Kalau ikutkan, finalis AJL 37 sangat-sangat hebat. Saya sebenarnya sangat takut dengan semua. Sejujurnya, masih berat nak terima kenyataan saya akan bertanding di AJL sebab masih muda sangat. Tapi apa pun saya anggap ini rezeki untuk lagu Nang.

“Saya takut dengan semua terutamanya Kak Aina Abdul, Kak Ninie (Ernie Zakri), Kak Marsha dan ramai lagi. Mereka semestinya menumpukan untuk vokal terbaik dan saya yakin salah seorang akan menang.

“Tapi untuk saya pula akan fokus kepada pembawaan cerita untuk lagu Nang, dan saya akan berikan yang terbaik,” tambahnya lagi.

Selain Nang, 11 finalis lain turut bersaing dalam AJL 37 yang bakal berlangsung pada Februari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pertarungan Vokal Aina, Marsha, Ernie, Shila, Liza.. Ini Senarai Penuh 12 Lagu Mara Ke AJL37

Aqilah Paharuzi