AJL 37: Selepas Lama Berehat, Jihan Muse Buat ‘Comeback’! Teruja Bakal Mengacara Bersama Sherry Alhadad

Selebriti popular, Jihan Muse meluahkan perasaan teruja apabila diberi peluang untuk mengendalikan anugerah berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-37 bersama rakan baiknya, Sherry Alhadad.

Kembali aktif dalam bidang seni selepas lama berehat melahirkan cahaya mata kedua, Jihan berkata mengendalikan AJL adalah salah satu impiannya dan bakal tersemat menjadi kenangan manis bersama Sherry.

“Saya sangat teruja dan gementar juga dalam masa yang sama sebab sudah lama berehat mengacara. Saya juga tidak sabar untuk bekerjasama dengan pasangan hos iaitu rakan baik saya sendiri, Sherry Alhadad.

“Saya tak pernah jadi pengacara untuk AJL, jadi apabila berjaya dan akhirnya diberi peluang untuk jadi hos, saya sangat bangga sebab ia adalah sebuah acara anugerah berpestij.

“Dapat pula berganding dengan Sherry dan 12 finalis AJL semuanya hebat. Saya yakin pada malam kemuncak AJL nanti akan sangat gempak,” katanya.

Mengulas mengenai gandingannya bersama Sherry, Jihan berkata sangat mudah untuk mereka mencipta keserasian.

“Sejak dulu kami berfikir bila kita nak diberi peluang untuk mengacara bersama, secara berdua. Sebelum ini, saya memang banyak mengacara bersama Sherry, cumanya akan ada orang ketiga.

“Kali ini akan ada nilai sentimental sebab kami berdua bermula dengan teater. Dari pentas teater nak ke pentas AJL, dengan asas kami yang sama, inilah detiknya. Insya-Allah, kami akan buat yang terbaik.

“Dari segi persediaan, buat masa ini belum ada apa-apa lagi. Tapi saya akan duduk berbincang dengan Sherry dan fikirkan sesuatu yang menarik bersama dengan produksi AJL,” katanya.

Mengulas tentang perkembangan kerjaya, buat masa ini Jihan memilih untuk melihat pada kesesuaian masa dan program.

“Tawaran kerja itu ada, syukur Alhamdulillah. Cuma saya memilih sedikit dari segi program, sama ada saya tak pernah buat atau belum cuba serta jangka masa pendek dan lokasi yang dekat sebab saya tak boleh tinggalkan anak-anak masih kecil.

“Mana yang mudah, saya akan cuba dan kena serasikan jadual dengan suami. Kalau suami ada penggambaran, kami bergilir-gilir jaga anak,” katanya.

Jangan lupa saksikan AJL 37 pada 12 Februari ini, Ahad jam 9 malam di TV3.

Sebanyak 12 finalis AJL 37  yang akan berentap iaitu Ernie Zakri (Korban), Marsha (Kembali Terang), Aina Abdul (Terus Hidup), Iman Troye (Nang), Shila Amzah dan Liza Hanim (Bahagiakan Dia), Joe Flizzow dan Sona One (Satu Malam Di Temasek), Aliff Satar (Anugerah Terindah), Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi (Debu), Noki dan MK (Payung Pelangi, Khai Bahar (Sengsara), Shiha Zikir (Irama) dan Naim Daniel (Mainan).

Aqilah Paharuzi