AJL 37: Wow! Gabungan Wany Hasrita Bersama De Fam Antara Yang Bakal Hangatkan ‘Opening’ AJL 37 Malam Ini

Malam kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37) bakal membuka pentas dengan penuh mengagumkan dengan persembahan pembukaan daripada penyanyi hebat tanah air.

Sekitar tinjauan XTRA pada raptai penuh AJL 37 di Axiata Arena, Bukit Jalil, malam anugerah beprestij ini bakal disajikan oleh penyanyi hebat antaranya seperti  Wany Hasrita, De Fam dan Azlan & The Superband dan ramai lagi.

Bertemakan dimensi muzik, AJL buat julung kalinya menggandingkan dua pengacara wanita popular, Sherry Alhadad dan Jihan Muse sebagai hos utama.

Siapakah yang bakal bergelar juara bagi edisi kali ini? Jangan lupa saksikan malam kemuncak AJL 37 malam ini jam 9.00 malam di TV3 dan strim langsung secara HD, eksklusif di platform penstriman Tonton www.tonton.com.my.

Kemeriahan acara karpet merah akan strim langsung secara HD di www.tonton.com.my dari jam 8.00 malam hingga 9.00 malam menerusi Karpet Merah Tonton yang dihoskan oleh Muaz Mohamed dan Fiza Frizzy.

Bagi mereka yang strim langsung di www.tonton.com.my, mereka dapat berinteraksi secara langsung dengan para finalis dalam program Backstage AJL 37 yang dihoskan oleh Nadia Hasnan dan Imran Aqil.

AJL 37 didimensikan oleh Alha Alfa Cosmetics sebagai penaja utama bagi menghangatkan acara yang memartabatkan lagu terbaik, tahun ini.

Sebanyak 12 finalis AJL 37 yang akan berentap iaitu Ernie Zakri (Korban), Marsha (Kembali Terang), Aina Abdul (Terus Hidup), Iman Troye (Nang), Shila Amzah dan Liza Hanim (Bahagiakan Dia), Joe Flizzow dan Sona One (Satu Malam Di Temasek), Aliff Satar (Anugerah Terindah), Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi (Debu), Noki dan MK (Payung Pelangi), Khai Bahar (Sengsara), Shiha Zikir (Irama) dan Naim Daniel (Mainan).

Khairil Khusyairi