Usahawan Dan Bekas Pengacara Popular Didakwa Menampar, Menendang 3 Individu Termasuk Pertuduhan Lakukan Khianat

Usahawan dan bekas pengacara popular, Norjuma Habib Mohamed dihadapkan di empat Mahkamah Majistret atas tiga pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas tiga individu dan dua pertuduhan melakukan khianat, tujuh tahun lalu.

Memetik laporan Awani, Norjuma, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas lima pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan, Amira Abd. Aziz, Fatin Dayana Jalil dan Noor Elynna Hanim Abd Halim.

Difahamkan, mengikut tiga pertuduhan mendatangkan kecederaan, Norjuma didakwa mencederakan seorang pengawal keselamatan lelaki warga Nepal, Neupane Tika Ram dengan menendangnya di bahagian betis kiri di sebuah pusat tuisyen di Brickfields sekitar jam 3 petang pada 29 Mac 2018.

Selain itu, dia juga didakwa dengan sengaja mencederakan seorang lelaki, Mohd Afiq Ismail, 34, di sebuah premis perniagaan di Menara Atlan, Jalan Ampang, di  pada jam 8.43 malam, 21 Februari 2017.

Norjuma juga didakwa menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 31, di sebuah kondominium di Wangsa Maju sekitar jam 10.30 pagi, pada 18 Oktober 2021.

Norjuma juga didakwa atas dua lagi pertuduhan di hadapan Amira iaitu melakukan khianat dengan merosakkan palang keluar dan masuk kenderaan dengan anggaran kerugian RM4,200 serta merosakkan kamera litar tertutup (CCTV) anggaran kerugian RM500, milik kondominium sama pada 7.44 dan 7.45 malam, 28 Julai 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Harvind Raja Gopal, Hamizah Hisan dan Vivian Yeap Jie Xi manakala Norjuma diwakili peguam Izzat Amir.

Mahkamah menetapkan 27 Jun ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sumber: Awani
Salma Syahbuddin