AJL 38: Afieq Shazwan Rasa Tidak Layak Ganti Jamal Abdillah, Nekad Teruskan Perjuangan ‘Ku Cuma’

Penyanyi Afieq Shazwan meluahkan dia berasa tidak layak untuk menggantikan tempat penyanyi lagenda Datuk Jamal Abdillah untuk Anugerah Juara Lagu 38 yang akan berlangsung pada 3 Mac ini.

Terdahulu, pihak FMC Music mengumumkan Afieq sebagai pengganti Jamal untuk pertaruhkan lagu Kucuma bersama Wany Hasrita di anugerah berprestij itu.

ARTIKEL BERKAITAN: AJL 38: Sah Tarik Diri, Afieq Shazwan Bakal Ganti Jamal Abdillah

Akur dengan keputusan tersebut, Afieq menganggap ia satu tanggungjawab yang besar.

“Apabila ada khabar angin Datuk Jamal menarik diri, nama saya mula disebut sebagai pengganti. Ketika itu saya sendiri rasa tidak layak dan minta cari pengganti lain malah saya cadangkan beberapa nama penyanyi untuk lagu itu.

“Kalau boleh saya memang tidak mahu menyanyikan lagu itu namun setelah dipersetujui saya anggap ia sebagai satu tanggungjawab dan harus melaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Memetik laporan mStar, penarikan diri Jamal berlaku kerana dia kurang berpuas hati dengan pihak penganjur yang enggan mengeluarkan bayaran kepada peserta meskipun tiket AJL38 dijual kepada peserta.

Dalam pada itu, Afieq turut berkongsi cabaran dalam melakukan persiapan dalam masa yang singkat memandangkan dia tidak pernah berduet dengan Wany sebelum ini.

“Saya dan Wany berkawan sebab kami sama-sama di bawah satu syarikat pengurusan namun tidak pernah menyanyi duet. Memang tiada masalah wujudkan keserasian, bagaimanapun untuk lagu ini persiapan agak singkat.

”Di pihak saya sekarang ini boleh dikatakan baru 50 peratus siap. Saya pun baru sekali menghadiri kelas untuk mendalami lagi ini,” jelasnya.

Bimbang dengan masalah kesihatan susulan terlibat dalam kemalangan di Thailand baru-baru ini, Afieq bagaimanapun berjanji untuk berikan persembahan yang terbaik di AJL38 nanti.

“Semoga saya cepat sembuh dan dapat mudahkan kerja semua orang. Itu sahaja saya mahukan. Ini satu tanggungjawab dan saya tidak mahu ia terhenti separuh jalan.

”Diharapkan peminat dapat menikmati persembahan lagu ini versi saya. Saya mahu teruskan perjuangan untuk semua yang terlibat dalam lagu ini,” katanya.

Sumber: mStar

Fatin Nurain