AJL38: Alami ‘Panic Attack’ Usai Keputusan Diumumkan, Aisha Retno Syukur Rangkul Gelaran Naib Juara & Persembahan Terbaik

Penyanyi Aisha Retno mengalami gangguan ‘panic attack’ ketika sesi sidang media usai keputusan Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38) diumumkan malam tadi.

Menurut Aisha, serangan yang dialaminya itu berlaku mungkin kerana penat memandangkan dirinya menjalani proses persiapan yang panjang.

“Apa yang saya boleh katakan, kita tidak tahu apa yang berlaku pada badan kita. Mungkin sebab saya penat. Tapi, saya rasa itu bukanlah satu alasan. Kalau Allah kata benda tu akan jadi, maka jadilah dia,” katanya.

Dalam pada itu, Aisha sempat berkongsi rasa syukurnya selepas berjaya memenangi gelaran Naib Juara dan anugerah Persembahan Terbaik di malam berprestij itu semalam.

“Alhamdulillah, saya rasa bersyukur sangat dapat berada sebaris dengan idola saya, Aina Abdul dan Amir Jahari untuk AJL kali ini. Saya juga berterima kasih kepada pasukan saya yang bertungkus lumus dari awal saya diumum untuk AJL kali ini.

”Ini pertama kali saya berada di AJL dan dinobatkan sebagai Naib Juara. Jadi, saya berterima kasih sangat pada pihak juri. Insya-Allah, jika ada rezeki lagi saya akan sertai lagi AJL ini.

”Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada komposer bersama lagu Sutera, MFMF yang melayan kerenah saya sepanjang menghasilkan lagu ini,” jelasnya.

Mengakui tidak sangka dirinya menerima Anugerah Persembahan Terbaik, Aisha turut bersyukur dirinya mempunyai tulang belakang yang sangan kuat.

Dalam pada itu, Aisha juga sempat mengulas mengenai aksi terbang setinggi 30 kaki ketika membuat persembahan di AJL38, malam tadi.

”Sejujurnya, saya sukakan ketinggian dan tidak suka dengan kelajuan. Bila pasukan produksi kata nak tarik saya sampai hilang, saya kata jangan laju-laju. Kalau laju baik naik roller coaster,” ujarnya.

Sebagai Naib Juara, Aisha telah berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM50,000 berserta trofi.

Manakala untuk Anugerah Persembahan Terbaik, Aishah berjaya menerima wang tunai berjumlah RM12,000 dengan trofi.

Fatin Nurain