AJL38: “Saya Tak Pernah Berada Di Tempat Pertama” – Amir Jahari

“Saya tak pernah berada di tempat pertama. Jadi, bila menang buat pertama kali ni saya rasa pelik,” demikian kata penyanyi Amir Jahari yang berjaya dinobatkan sebagai Juara Lagu bagi Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38), semalam.

Menerusi malam berprestij tersebut, Amir yang mempertaruhkan lagu Hasrat itu berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 beserta trofi.

Menurut Amir, dia tidak pernah menjangka dia merangkul gelaran itu meskipun terdengar ura-ura yang menyatakan dirinya berpotensi menjadi juara pada tahun ini.

”Saya sangat gembira dan terkejut sebab saya tak pernah sangka saya akan menjadi juara. Saya dah banyak sertai pertandingan sebelum ini, tapi tak pernah memiliki apa-apa nombor pun.

”Paling tinggi pun tempat kedua ketika saya sertai pertandingan dengan AG Coco.

”Sejujurnya, saya tak membaca sebarang ramalan orang di Twitter sebelum membuat persembahan. Tapi ada yang memaklumkan kepada saya tentang perkara itu.

”Disebabkan tidak pernah menjadi juara, saya tak percaya dengan semua tu dan berharap. Tapi saya tetapkan diri saya dan biar muzik saya yang bercakap sendiri,” jelasnya.

Kata Amir yang juga merupakan komposer lagu tersebut, konsep persembahan yang dibawakannya malam tadi di pentas berprestij itu merupakan solidariti untuk saudara Islam yang terkorban di Palestin.

”Setiap kali saya buka aplikasi X, saya baca banyak mengenai kekejaman di Palestin. Jadi, timbul idea untuk membuat konsep solidariti dalam persembahan saya.

”Visual yang dipaparkan sepanjang persembahan itu merupakan nama-nama mereka yang syahid. Dan kami mendapatkannya dari sumber yang sah,” jelasnya.

Umum tahu, Hasrat merupakan runut lagu bagi filem Imaginur lakonan Beto Kusyairy dan Diana Danielle.

ARTIKEL BERKAITAN: AJL38: Tahniah! Amir Jahari Dinobatkan Juara Lagu Tahun Ini

 

Fatin Nurain