AJL38: Menang Tempat Ketiga, Vokal Terbaik & Pilihan Alha Alfa… Aina Abdul Tetap Syukur

Penyanyi Aina Abdul meluahkan rasa bersyukur selepas berjaya mendapat tempat ketiga untuk Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38), semalam.

Bukan itu sahaja, lagu Jangan Mati Rasa Itu ciptaan sepenuhnya oleh Aina juga berjaya mendapat Anugerah Vokal Terbaik dan Pilihan Alha Alfa.

Meskipun tidak berjaya untuk meraih gelaran juara pada tahun ini, Aina menyifatkan setiap lagu yang dipertaruhkan pada AJL38 mempunyai kekuatan tersendiri.

”Bagi saya, AJL tahun ini akan menjadi malam yang paling akan saya ingati sekali. Kita dapat lihat pelbagai genre lagu yang dipertaruhkan pada musim kali ini. Jadi, kalau saya kata saya sedih dapat tenpat ketiga, maksudnya saya tak bersyukur dan bertentangan dengan tujuan utama saya tulis lagu ini.

”Apa saya boleh katakan, setiap lagu yang dipertandingkan ada kelebihan masing-masing dan mempunyai air lagu yang berbeza,” jelasnya.

Sebagai pemenang tempat ketiga, Aina berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000 dan trofi.

Aina juga turut membawa pulang wang tunai berjumlah RM12,000 berserta trofi bagi kedua-dua kategori Vokal Terbaik dan Pilihan Alha Alfa.

Sementara itu, Aina turut menyatakan dia tumpang gembira dengan kemenangan yang diraih oleh penyanyi Amir Jahari sebagai Juara.

ARTIKEL BERKAITAN: AJL38: Tahniah! Amir Jahari Dinobatkan Juara Lagu Tahun Ini

ARTIKEL BERKAITAN: AJL38: “Saya Tak Pernah Berada Di Tempat Pertama” – Amir Jahari

Kata Aina, dia sendiri meminati Amir dan lagu Hasrat kerana jalan penceritaannya lebih dekat dengan kisah hidupnya.

“Siapa sahaja yang jadi juara saya akan tumpang gembira. Saya sebenarnya kalau orang tanya siapa juara saya akan cakap Amir. Saya sendiri pun peminat Amir.

“Walaupun saya selalu bawa lagu tinggi-tinggi tapi sebenarnya jiwa saya macam lagu-lagu Amir ni sebab saya pun pernah berada di tempat yang sama.  Jadi tahniah saya ucapkan pada Amir atas kemenangan pada malam ini,” jelasnya.

 

Fatin Nurain