“Hukum Mencium Hajar Aswad Jatuh Haram Sekiranya Membahayakan Keselamatan Diri” – Dr Zulkifli

Bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Haji Dr Zulkifli tampil menegur segelintir pihak yang membuat content ketika menunaikan ibadah Umrah.

Menerusi perkongsian di platform media sosial, Dr. Zulkifli menjelaskan mengenai ibadah Umrah terutamanya mengenai hukum tawaf dan mencium Hajar Aswad.

“Umrah adalah ibadah, bukan pelancongan ‘kerohanian’

“Tawaf adalah satu ibadah, sebagaimana mencium hajar aswad juga adalah ibadah. Beza keduanya adalah, tawaf itu wajib dan mencium Hajar Aswad adalah sunat.

“Bahkan di sisi ulama Syafi’iyyah, hukum asal bagi wanita adalah tidak disunatkan bagi mereka mencium hajar aswad kecuali keadaan di mataf agak lengang,” tulisnya.

Dr. Zulkifli turut menjelaskan haram mencium Hajar Aswad sekirnya memberi mudarat kepada diri sendiri atau orang lain.

“Jika sampai menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri sendiri dan orang lain, atau membahayakan, hukum mencium hajar aswad adalah haram.

“Cukup sekadar berisyarat dengan lambaian tangan dan mencium tangan, sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau meluahkan rasa kesal apabila semakin ramai pihak yang membuat content di Tanah Suci Kota Makkah itu seperti menyentuh kaabah untuk meraih perhatian semata.

“Agak janggal bila ibadah yang suci dan mulia itu dirosakkan dengan telefon pintar yang diangkat untuk merakam video dan gambar, bukan pada masanya.

“Saya juga lihat perkembangan mutakhir ini, ramai memuat naik video sedang menyentuh Kaabah atau hajar aswad di media sosial. Jika ia hanya sekadar “trend” untuk meraih tontonan ramai, tinggalkanlah “trend” yang merugikan itu,” tambahnya lagi.

Sebelum ini, heboh di media sosial mengenai video memaparkan seorang pempengaruh dan usahawan terkenal membawa rakan kerja wanita termasuk isterinya untuk mencium Hajar Aswad.

Lebih parah, pempengaruh itu terpaksa menolak dan memarahi jemaah lain untuk memberi laluan kepada pekernya yang dikatakan hampir lemas itu.

Artikel Berkaitan: Dibida Dengan Harga RM135,000, Jam Tangan Rolex Dr Zulkifli Pemberian Raja Arab Saudi Akhirnya Jumpa Pemilik Baru!

Aqilah Paharuzi