Akibat Langgar Kontrak, Hun Haqeem Diperintah Bayar Ganti Rugi Berjumlah RM613,960 Kepada MIG… Dilabel ‘Lupa Diri’ – “Dia Bagai Kacang Lupakan Kulit”

Pelakon, Hun Haqeem diperintahkan untuk membayar ganti rugi berjumlah RM613,960 atas tindakannya yang telah melanggar kontrak dimeterai bersama syarikat produksi Metrowealth International Group (MIG).

Pengarah urusan MIG, Datuk David Teo memaklumkan perkara demikian selepas mendapat keputusan Mahkamah Rayuan Shah Alam pada 27 November lalu.

“Rayuan difailkan berpihak kepada kami dan Hun diminta untuk membayar ganti rugi berjumlah RM613,950 dengan syarat kami tampilkan bukti kos kerugian.

“Dia (Hun) juga diminta membayar kembali wang berjumlah RM 30, 240 iaitu bayaran tunggakan kepadanya yang pernah kami bayar sebelum ini,” katanya yang ditemui di majlis bacaan doa selamat Jangan Pandang Belakang 2, di Metrowealth, Petaling Jaya, pada Isnin.

Pada awalnya Mahkamah Shah Alam memutuskan kes saman langgar kontrak ini selesai tanpa ada pihak menang atau kalah, namun David bertegas mengambil tindakan sekaligus membuat rayuan.

David menjelaskan bahawa aktor berkenaan melanggar kontrak lima tahun dimeterai sejak 2021 yang kini masih berbaki dua tahun lagi saat namanya sedang meledak naik dalam industri seni.

“Hun menanda tangan kontrak selama lima tahun dengan MIG. Waktu itu namanya sedang meletup. Jadi dia tetap salah. Dia bagaikan kacang lupakan kulit.

“Pihak kami sudah labur banyak. Hun menerima banyak sangat tawaran termasuklah untuk menjadi duta, tetapi terpaksa tolak menyebabkan kami kerugian besar,” ujarnya lagi.

David bagaimanapun memaklumkan aktor drama rantaian Kampung People ini sudah membayar separuh daripada ganti rugi berjumlah RM30,240.

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Daiyan Trisha Duet Lagu Aku & Dirimu Dengan Hun Haqeem Curi Perhatian Netizen – “Jodoh Kuat Ni, Kahwin Je Lah!”

Artikel Berkaitan: [VIDEO] Babak Cium Berlapik Daiyan Trisha & Hun Haqeem Undang Kecaman Netizen – “Tetap Bersentuhan Bibir Tu!”

Aqilah Paharuzi