Akim Lawan Dengan Isterinya!

Penyanyi, Akim Ahmad, bakal bersaing dengan isterinya, Stacy, menerusi program Mentor Milenia 2019 yang akan disiarkan menerusi TV3, Oktober depan.

Selain mereka, artis lain yang menduduki kerusi mentor kali ini ialah Hazama, Black Hanifah dan Ernie Zakri.

Menurut Akim yang turut dikenali sebagai komposer, Stacy ialah insan paling dipercayainya dan sering dijadikan tempat rujukan dalam pelbagai perkara.

“Stacy umpama cermin buat diri saya dan apa sahaja yang ingin dilakukan. Dialah juga orang yang banyak memberikan pandangan kepada saya. Jadi, perbincangan bersamanya amat penting sebelum sesuatu keputusan diambil.

“Bagaimanapun, apabila masing-masing diberikan peluang sebagai mentor menerusi program ini, kami akan tetap bersaing. Namun, persaingan itu tentulah secara profesional,” katanya ketika ditemui pada sesi taklimat rancangan berkenaan di Sri Pentas, Bandar Utama, di sini.

Akim yang pernah menyaksikan protegenya, Elica, muncul juara pada 2017 berharap dapat mencari bakat pelapis yang berani.

“Kita mahu mencari pelapis kepada penyanyi sedia ada, jadi pastinya mereka yang serius untuk maju ke depan diberikan perhatian.

“Pada zaman tanpa batasan sekarang, ramai bakat muda muncul berkongsi kemampuan masing-masing. Jadi, saya berharap mereka akan datang ke sesi uji bakat nanti,” katanya.

Uji bakat rancangan itu akan diadakan pada 3 dan 4 Ogos depan di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah. Ia kemudian diteruskan di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, pada 24 dan 25 Ogos serta 7 dan 8 September.

Akim dan Stacy diijabkabulkan di Kota Kinabalu pada 5 Februari 2016. Mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Eshaal, 2 tahun.

Pasangan selebriti ini turut mempunyai anak angkat, Bella Deluna.

Kredit: Berita Harian Online.

SGMS Enal