Categories: HiburanSelebriti

Gosip Tak Berhenti, Fatin Malas Layan Netizen

Pelakon yang kini bergelar penyanyi, Fatin Afeefa mengaku tidak berminat untuk melayan komen negatif netizen di media sosial miliknya.

Fatin ketika ditemui media memberitahu dia mengambil langkah berdiam diri dari melayan berita negatif mengenainya di laman sosial.

“Saya tidak akan ulas lagi sebarang soalan mengenai hal ini kerana tidak mahu memanjangkan isu yang tidak mendatangkan faedah.

“Kalau saya ulas, masalah bertambah buruk. Sebarang komen negatif saya baca tetapi jika melibatkan anak-anak saya, sudah tentu saya akan sekat mereka di Instagram. Mereka boleh ‘usik’ saya tetapi bukan anak-anak,”katanya ketika ditemui di majlis pelancaran lagu Satu Jam Saja di Subang, semalam.

Akui Fatin, dia juga memohon privasi orang luar agar terus tidak terus memperkatakan isu ini.

“Apa yang disebarkan tiada kena mengena dengan saya jadi buat apa saya nak layan?

“Dari sakit hati baik saya diam,” katanya.

Fatin sebelum ini pernah terkait dengan isu bercinta dengan lelaki yang didakwa berstatus suami orang.

Hal ini didedahkan oleh seorang wanita menggunakan nama akaun Mag.

Untuk rekod, Fatin pernah berkahwin dengan pelakon Adam Shahz pada 21 Disember 2013 dan bercerai pada 20 Mei 2017.

Pasangan itu memiliki sepasang anak iaitu Adam Aisy Arrian dan Ivy Herra Sophia.

SGMS Enal