Categories: HiburanSelebriti

Akui Belum Berhijab Sepenuhnya, Fatin Afeefa Syukur Dapat Sokongan Suami

Pelakon Fatin Afeefa tampil mengulas tentang penampilan terkininya yang kerap mengenakan hijab sejak kebelakangan ini.

Cantik dan sopan bertudung, Fatin bagaimanapun menyatakan dirinya kini dalam fasa mencuba untuk menjadi seorang insan yang lebih baik.

“Kita mencuba sebenarnya. Saya tak kata yang saya dah memakai tudung sepenuhnya tapi saya cuba menjadi seseorang yang lebih baik dengan menjadi diri saya sendiri seperti cara pemakaian saya.

“Kita cuba slow-slow lah sebab tak berani nak cakap. Orang cakap iman turun naik, sebab tu saya tak berani nak kata saya dah fully berhijab sebab istiqomah is not easy.

“Saya taknak bila saya cakap saya dah fully berhijab orang expect saya jadi macam ustazah pula,” katanya.

Fatin Afeefa kelihatan lebih sopan bertudung. FOTO Instagram Fatin Afeefa.

Menerusi temubual bersama Media Hiburan, Fatin turut menyatakan suaminya, Aliff Awang atau Opai merupakan orang yang paling bahagia selepas melihat penampilannya bertudung.

Menurut Fatin, hasratnya untuk bertudung itu timbul selepas pulang dari mengerjakan umrah beberapa bulan yang lalu dan syukur suaminya sangat memberikan sokongan dengan keputusannya itu.

“Dia sangat-sangat happy bila saya pakai tudung, dia orang paling bahagia sekali. Dia tak pernah paksa saya, dia tak pernah pun desak saya untuk pakai tudung dan anggap saya tak sayang dia.

“Dia sangat supportive sebab masa saya pakai tudung tu pun dia tanya saya nak beli jubah ke, dia encourage sebab in a way dia takda menyakitkan hati.

“Saya agak murung masa mula-mula balik umrah sebab saya taknak jumpa sesiapa sebab baju saya semua seksi. So dia cakap jom beli shopping online, jadi itu cara dia mendukung saya yang buat saya rasa terharu dan berterima kasih,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Fatin sempat menyatakan dirinya kini lebih aktif menguruskan perniagaannya sendiri meskipun sudah tidak aktif berlakon dan menyanyi.

“Kerjaya saya sekarang ni lebih kepada Duta. Untuk shooting dan menyanyi saya rasa dah lama dah saya tak buat. Saya pun ada perniagaan sendiri. Jadi, saya nak cuba kembangkan business saya sebesar mungkin,” katanya.

Sumber: Media Hiburan

Fatin Nurain