Akui Khilaf Sendiri, Nelydia Senrose Mohon Doa Kekal Istiqamah – “Kalau Orang Lain Kecewa, Saya Lebih Kecewa”

Pelakon Nelydia Senrose, mengakui khilaf dan kecewa dengan diri sendiri kerana memakai tudung secara ‘on-off’ sehingga dikecam netizen, baru-baru ini.

Memetik laporan Harian Metro, pelakon jelita itu menyatakan dirinya yang masih baru dalam penghijrahan itu memohon maaf atas kesilapan yang berlaku.

“Kalau orang lain kecewa, saya lebih kecewa dengan diri sendiri. Saya sedar yang saya tidak sepatutnya buat macam itu, tapi saya hanyalah insan biasa yang mempunyai banyak kelemahan diri.

“Sebagai manusia adakalanya iman kita ada turun dan naik. Ia bukan satu perkara yang mudah bagi seseorang yang baru berhijab untuk kekal istiqamah,” katanya.

Kini, Nelydia berharap agar orang ramai dapat mendoakan dirinya memakai hijab sepenuhnya selepas pulang mengerjakan ibadah haji bersama suaminya, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid, baru-baru ini.

“Doakan agar saya diberikan iman yang kuat untuk kekal berhijab. Selama ini pun memang saya mencari sesuatu yang tidak lengkap dalam diri.

“Saya percaya apa yang dilakukan ini adalah yang terbaik. Cuma saya perlu teguh dengan pendirian ini. Insya-Allah dan doakan saya menjadi insan yang lebih baik dari hari ke hari,” jelasnya.

Sebelum ini, Nelydia dilihat mula mengenakan tudung selepas pulang daripada mengerjakan umrah Disember tahun lalu.

Namun, pelakon itu tampil mengejutkan ramai pihak apabila dia dilihat tidak lagi mengenakan hijab ketika sedang bercuti di Bali, Indonesia beberapa bulan lalu.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain