Luah Rasa Syukur Walau Diuji, Syifa Melvin Imbau Kenangan Di Tanah Suci – “Umrah Kali Ini Lain Macam Sikit”

Baru-baru ini, pelakon dan usahawan, Syifa Melvin memuat naik satu hantaran di Instagram mengimbau kenangan ketika mengerjakan ibadah Umrah pada Februari lalu.

Menerusi hantaran tersebut, Syifa mengambil kesempatan untuk berkongsi pengalamannya ketika menunaikan Umrah dan meluahkan rasa syukur kerana segala doanya dimakbulkan oleh Allah serta merta.

“Februari 2022, saja menulis di sini sebagai kenangan, Alhamdulillah Umrah kali ini lain macam sikit.

“Doa semua on the spot dapat jawab. Terlalu banyak nikmat yang Allah bagi tapi kenapa masih susah nak betul-betul berada pada jalan yang betul,” tulisnya.

Sementara itu, Syifa atau nama sebenarnya Siti Nur Syifa Athirah Amirol Melvin, 28, turut menceritakan keadaan kesihatannya tidak begitu baik ketika berada di Tanah Haram.

“Selain diberi nikmat, Syifa juga diuji dengan kesihatan, dekat situ Syifa nampak sangat keajaiban Allah.

“Sebenarnya di mana-mana pun kita boleh berdoa, tapi bila kita berada di tanah suci, kita punya level yakin tu level infiniti. Kunci doa adalah yakin sahaja sebenarnya, pasti Allah akan kabulkan, percayalah.

“Semoga kita boleh taburkan keyakinan kita lepasni dengan lebih lagi bila kita berdoa. Semoga permintaan kita dikabulkan Allah, Aamin Ya Mujib,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Sekadar info, Syifa yang ditemani kakaknya, Syafiqa Melvin telah mengerjakan ibadah umrah bersama keluarga kekasihnya, Safawi Rasid yang merupakan pemain bola profesional.

Atiqah Johari