“Paru-Paru Ada Tar, Dah Rosak” – Alif Satar Dedah Pesakit COVID-19 Merokok Terima Rawatan Berbeza

Penyanyi, pelakon dan pengacara, Alif Satar memberi kesedaran buat rakyat Malaysia agar berhenti dan tidak terjebak dengan amalan merokok yang boleh membahayakan nyawa.

Menerusi perkongsian videonya di Instagram, Alif mendedahkan pesakit COVID-19 yang merokok atau mempunyai sejarah merokok dirawat dengan cara yang berbeza.

“Ketika dijangkiti COVID-19, soalan pertama ditanya doktor, adakah saya seorang perokok?

“Bagaimanapun, saya bukan seorang perokok, namun, seorang rakan saya yang sudah berhenti merokok, tetapi mempunyai sejarah merokok menerima rawatan berbeza.

“Ini mungkin disebabkan paru-paru tidak berfungsi dengan baik atau ada tar, dah rosak dah,” ujarnya.

Menurut Alif, nikmat yang kurniakan oleh Tuhan hendaklah dijaga dengan baik.

“Badan ini bukan milik kita, tetapi Allah pinjamkan. Jadi, kita perlulah menjaganya sebaiknya.

“Umpama jika diberikan kereta yang perlu dipakai seumur hidup, tentunya kita menjaga kereta seeloknya supaya boleh berfungsi dengan baik,” kata Alif.

Oleh itu, Alif menyeru semua pengikutnya untuk memulakan gaya hidup yang sihat.

“Kalau boleh berhentilah merokok dan jika boleh dielak, cubalah elak.

“Marilah kita sama-sama mengamalkan cara hidup baik dan menjadi rakyat Malaysia yang lebih sihat dengan berhenti merokok,” katanya.

Maya Basir