Akui Populariti Sudah Bertukar Tangan, MK K-Clique Tak Halang Isteri Untuk Berlakon?

Penyanyi dan pelakon, MK K-Clique mengakui populariti dirinya sudah bertukar tangan kepada isterinya iaitu Siti Hajaar Syeikh Nordin.

Memetik laporan Harian Metro, MK atau nama sebenar Muhammad Hairi Amin Hamdan memberitahu isterinya semakin dikenali kerana kempen iklan di media sosial yang menampilkan mereka berdua.

“Kalau mengenai populariti selepas kahwin, jujur rasanya isteri saya yang lagi popular. Ini kerana, kalau perempuan, mereka lebih selesa dengan perempuan (kempen iklan di media sosial) dan itu adalah benda baik.

“Alhamdulillah, orang tengok isteri saya dari sudut yang baik, misalnya, daripada segi pemakaian, walaupun dia (isteri) tidak cari populariti itu,” katanya.

Pada masa sama, MK bersyukur Siti Hajaar menerima komen dan sokongan positif daripada hasil video kempen iklan mereka bersama.

“Syukur dengan apa yang diberi (perhatian ramai), dia hargai. Maksudnya, apabila kami berada di luar dan tiba-tiba ada orang tegur, dia (Siti Hajaar) hargai teguran itu yang juga bagi saya satu kebaikan.

“Pada saya, apa saja perkara baik dan positif selagi membawa kepada kebaikan, memang saya tiada halangan untuk isteri melakukannya termasuk berlakon. Tapi, berlakon dia sebenarnya tak minat,” ujarnya.

Berkongsi mengenai kebahagian yang dipamerkan di media sosial, dia hanya menunjuk apa yang dirasakan baik buat tontonan ramai.

“Kebahagiaan jelas terpancar, itu yang saya tunjuk. Ini kerana, orang menilai daripada apa yang kita kongsi terutama di media sosial. Lagi pula, sekarang memang orang suka tengok media sosial.

“Jadi, kita tunjuk yang baik-baik sajalah. Maka, saya yakin yang baik-baik juga orang akan fikir terhadap kita dan ia adalah doa. Itu yang utama, doa yang baik-baik,” jelasnya.

Untuk rekod, MK dan Siti Hajaar mendirikan rumah tangga pada 15 Jun lalu selepas empat tahun bercinta.

Maya Basir