Alyah Tampil Mohon Maaf Susulan Kenyataan Dikatakan Hina Golongan Peneroka Kelapa Sawit & Kebun Getah

Penyanyi Datin Alyah tampil memberi penjelasan mengenai kenyataannya yang dikatakan menghina golongan peneroka kelapa sawit atau kebuh getah yang tular, baru-baru ini.

Menerusi siaran langsung di TikTok, Alyah tampil membuat permohonan maaf atas kekhilafan dirinya malah turut memaafkan netizen yang mengecamnya dek kerana kenyataan tersebut.

“Terima kasih sebab memahami.

“Saya tak marah, saya tak marah portal berita itu. Saya tak marah sesiapa yang komen, saya tak marah sesiapa pun.

“Saya maafkan dan saya juga meminta maaf sebab hidup ini sangat singkat. Begitu hidup ini tiada yang abadi, tiada yang abadi pun dalam hidup ini.

“Memohon maaf dan meminta maaf satu benda yang kita kena amalkan walaupun berat untuk ucap tapi semoga kita ikhlas melafazkannya,” katanya.

Tambah Alyah, dia menegaskan dia tidak menghina golongan peneroka atau penduduk tanah rancangan malah memberitahu terdapat saudara maranya yang masih tinggal di tanah rancangan.

“Tiada benda pun, pada saya benda ini perkara kecil tapi jangan lah fitnah saya kutuk-kutuk anak peneroka. Kenapa? Saya tak menghina.

“Saudara mara saya semua tinggal di Kota Tinggi, Felda Air Tawar, semua duduk situ. Dah kenapa saya nak menghina pula? Saudara saya penuh di situ anak peneroka, orang Felda..kelapa sawit, pokok getah.

“Ibu bapa saya bukan anak orang kaya, saya bukan lahir daripada keluarga senang tapi saya diberi kelebihan oleh Allah S.W.T iaitu suara.

“Saya berkerja mencari rezeki menggunakan suara. Suara itu yang jadikan saya ada aset saya sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, pelantun lagu Tak Mungkin Kerana Sayang ini turut menjelaskan dia berkahwin dengan maestro terkenal tanah air, Ramlis MS atau Tok Ram selepas lagu Kisah Hati menjadi hit suatu ketika dahulu.

“Saya pun ada kerjaya saya sendiri. Saya kahwin dengan Tok Ram pun setelah lagu Kisah Hati melonjak naik.

“Saya ada kerjaya sendiri. Itu rezeki orang, biarlah mereka sibuk cakap kahwin fasal harta ke, apa ke, biarlah.

“Cuma janganlah buat benda ini jadi fitnah,” jelasnya.

Terdahulu, Alyah menerusi siaran langsung TikTok menjawab dakwaan netizen yang mendakwa dirinya berkahwin dengan Tok Ram disebabkan harta.

Malah, menegaskan dia bukanlah datang dari keluarga yang susah dengan mengatakan dia bukanlah datang dari kelapa sawit, pokok getah serta akui mempunyai harta sendiri.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Mac 2013 dalam sebuah majlis secara rahsia di Indonesia dan masih belum dikurniakan rezeki cahaya mata.

Khairil Khusyairi