Sukar Beri Kepercayaan, Alyph Letak Syarat Hasilkan ‘Dari Jauh’

Penyanyi rap, Alyph berkongsi pengalaman pertama kali menulis lagu bersama penulis lagu dalam menghasilkan karya baharunya yang berjudul Dari Jauh.

Tampil berbeza daripada kebiasaan, Alyph atau nama sebenar, Muhammad Alif Abdullah, mengakui dia sukar memberi kepercayaan kepada seseorang untuk menghasilkan sesebuah karya.

“Ini pertama kali saya tulis lagu bersama penulis lagu. Ia juga kali pertama saya dapat keyakinan untuk memberi penulis lagu lain berkarya bersama.

“Saya memang mempunyai isu kepercayaan terhadap seseorang. Bukan saya nak bolot semua atau tak mahu bekerjasama dengan penulis lain. Tetapi sebab saya dah terbiasa. Saya seorang sahaja.

“Jadi untuk bersama penulis lagu dan produser dalam projek kali ini, saya agak tersiksa, syukur mereka baik,” katanya kepada XTRA.

Alyph ditemui pada sidang media pelancaran lagu terbaharunya berjudul Dari Jauh di pejabat Universal Music Malaysia baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai karya yang dihasilkan bersama penyanyi dan penulis lirik terkenal Indonesia, Teddy Adhitya itu, Alyph akui entah dari mana wujud untuk menyiapkan lagu bergenre R&B itu.

“Saya juga pelik untuk buat keputusan itu, saya anggap ia ibarat kita pergi ‘sky diving’, jadi bila di atas kita hanya perlu lompat saja.

“Dalam hidup saya, saya rasa banyak keputusan yang saya buat begini, di mana saya tak fikir sampai habis.

“Saya bermula dalam industri dengan saya buat sendiri lagu saya, dikelilingi pula dengan rakan yang tidak ambil tahu langsung dengan karya saya, jadi saya seorang sahaja.

“Jadi dengan terhasilnya karya ini, saya anggap ia peluang cerah bagi saya untuk jelajahi muzik dengan lebih dalam,” ujarnya.

Meneroka rona-rona irama R&B yang lebih perlahan, Alyph bersyukur Teddy dan penerbit, Kenny Gabriel faham dengan konsep muzik yang dibawakannya.

“Bekerja dengan Teddy sangat menarik. Saya ada cakap pada dia yang ‘tolong hasilkan sesuatu yang saya harap saya boleh buat’ sebab saya tahu muzik katalog saya.

“Saya juga berkata pada dia ‘saya mahu nyanyikan lagu tersebut macam dia’. Saya ada letakkan beberapa ‘syarat’ pada dia.

“Sebelum masuk ke studio, mereka ada dengar muzik katalog saya dan mereka kenal saya sebagai rapper.

“Cara saya bawakan lagu tersebut juga seperti ‘gliding melody’ seperti penyanyi Afgan, yang betul-betul seorang penyanyi.

“Saya bersyukur mereka faham dengan konsep saya kerana setiap orang punyai citarasa muzik yang berbeza,” tutupnya.

Dari Jauh mula boleh didengari di semua platform penstriman digital dan video muzik rasmi di Youtube Alyph.

Ikuti Channel rasmi XTRA di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Khairil Khusyairi