Yuna Teruja Kali Pertama Tulis & Menyanyi Lagu Dalam Bahasa Sepanyol, Harap Dapat Jumpa Peminat Amerika Latin

Penyanyi popular Yuna sekali lagi mencuri perhatian apabila berkongsi perjalanan menerbitkan single Bad Intentions yang diluncurkan Oktober tahun lalu.

Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zarai, meluahkan rasa teruja apabila dapat meluncurkan lagu tersebut.

Lebih menarik, lagu Bad Intentions tersebut merupakan tulisan dan nyanyian pertama Yuna dalam bahasa Sepanyol.

Menurut pelantun lagu hits Dan Sebenarnya itu, dia mula mempelajari Bahasa Sepanyol tersebut pada 2023 dengan bantuan rakan-rakan.

“Saya teruja akhirnya dapat berkongsi visual yang kami rakamkan untuk lagu saya, Bad Intentions.

“Lagu ini sangat memberi makna buat saya, ia adalah kali pertama saya menulis dan menyanyi dalam Bahasa Sepanyol.

“Saya mula mempelajarinya pada 2023 dengan bantuan rakan yang bertutur dengan bahasa tersebut dan saya gembira dapat peluang untuk terbitkan lagu ini,” tulisnya teruja.

Anak kelahiran Malaysia yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu turut berkongsi dia sudah menulis lagu Bahasa Sepanyol yang kedua.

“Mempelajari bahasa baru sememangnya melebarkan pengalaman saya menulis yang kedua.

“Terima kasih rakan dan peminat atas kasih sayang dan sokongan dan berharap dapat jumpa peminat Amerika Latin. Nos Vemos, Te amo mucho,” tutup Yuna dengan bahasa Sepanyol.

Terdahulu, Yuna berhasrat menulis lagu dalam bahasa asing, selain bahasa Inggeris dan Malaysia bagi mengembangkan karier seninya.

Mahu mencabar diri, penerima trofi Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) Ke-20 itu memaklumkan dia berjaya menguasai bahasa asing dari negara Sepanyol itu dalam tempoh hanya satu bulan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dianggap Tidak Waras Gara-Gara Tolak Kerjasama Jenama Terkemuka, Hati Yuna Tetap Teguh Bersama Palest*n

ARTIKEL BERKAITAN: Peminat Sambut Baik Pendirian Yuna Hanya Ambil Pereka Fesyen Pro-Palestin Sahaja – “Thank Your For Speaking Up” 

Ikuti Channel rasmi XTRA di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Khairil Khusyairi