Hafiz Suip Menghilang Lagi, Status Rumah Tangga Jadi Tanda Tanya

Penyanyi bervokal mantap Hafiz Suip sekali lagi dikatakan ‘hilang’ dari radar industi seni tanah air.

Ternyata ia menjadi buah mulut peminat susulan tindakan pelantun lagu hits Awan Nano itu menyah aktif akaun media sosial miliknya.

Hasil carian, akaun Instagram (IG) bapa kepada dua cahaya mata itu tidak lagi wujud manakala akaun Facebook (FB) pula tidak lagi aktif.

Kali terakhir Hafiz mengemas kini adalah di IG stories dengan berkongsi kondisi tubuh badannya.

Dalam perkongsian tersebut, Hafiz berseloroh dia berasa sakit hati apabila ada sesetengah pihak masih mendakwa dirinya sakit.

“Ye saya sakit.. sakit hati tengok korang kata saya sakit. Perut on the way,” tulis Hafiz.

Malah, timbul juga dakwaan mengenai status rumah tangga pemenang anugerah Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 itu sedang bergolak.

Menjengah ke profil IG isterinya, Nureffy Jesreel pula, Hafiz juga tidak kelihatan dalam video sambutan ulang tahun kelahiran isterinya itu baru-baru ini.

Sebelum ini, Hafiz mencetus spekulasi apabila tampil dengan imej rambut berwarna hijau selepas lama berdiam diri.

Nama Hafiz turut menjadi perhatian ramai apabila terpalit dengan pelbagai spekulasi yang timbul mengenai keadaannya susulan fizikal tubuhnya yang susut.

Namun pelantun lagu Kisah Cinta Kita itu menegaskan dia sihat dan sekadar mahu mencantikkan tubuhnya.

Hafiz mendirikan rumah tangga bersama Nureffy pada tanggal 14 Mei 2016 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Riyadh Zafri dan Alkaf Zayne.

Ikuti Channel rasmi XTRA di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Khairil Khusyairi