Amar Baharin & Amyra Rosli Raya Dengan 30 Pasang Baju

Untuk persiapan menyambut bulan Syawal tahun ini, pasangan suami isteri Amar Bahrin dan Amyra Rosli berkata mereka sudah menyediakan sebanyak 30 pasang baju.

Menurut Amyra, baju-baju tersebut disediakan oleh pihak Prima Valet memandangkan mereka sekeluarga telah dilantik sebagai duta untuk produk tersebut.Malah anak mereka Aqeef Anaqi turut mempunyai bilangan baju yang sama seperti ibu bapanya.

“Kami teruja nak tunggu Syawal tahun ini sebab ia merupakan tahun pertama kami sambut raya bertiga dengan Anaqi.

“Untuk tahun ini kami akan beraya dengan 30 pasang baju seorang.

“Saya macam ibu-ibu lain di luar sana, suka pakai baju seragam dengan ahli keluarga. Yang paling saya tak sabar pastinya nak gayakan Anaqi dengan koleksi baju melayunya nanti,” kata Amyra pada majlis pelancaran Prima Valet di Wangsa Maju, Kuala Lumpur hari ini.

Selain tidak sabar menggayakan baju sedondon, Amar berkata mereka sekeluarga juga teruja ingin memperkenalkan Anaqi dengan saudara mara yang masih belum berkesempatan bertemu dengan Anaqi sejak dia dilahirkan Oktober tahun lalu.

“Kami akan beraya di Kuala Lumpur memandangkan keluarga kami menetap di sini.

“Raya kali ini juga saya berhasrat nak bawa Anaqi bertemu dengan saudara mara yang masih belum jumpa dia.

“Ia bukannya apa, aktiviti seni kami yang terlalu padat menyebabkan kami tiada masa untuk memperkenalkan Anaqi kepada saudara mara jauh lagi,” kata Amar.

SGMS Enal